Gara-gara didakwa terbabit dengan pengubahan wang haram, seorang warga emas di sini menanggung kerugian RM236,994 akibat diperdaya sindiket Macau Scam.

Kejadian bermula pada 23 Julai lalu apabila mangsa, seorang wanita berusia 66 tahun, menerima panggilan daripada seorang lelaki yang mendakwa terdapat barang pos mengandungi kad pengenalan serta beberapa keping kad ATM milik mangsa.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa menafikan perkara itu sebelum diminta membuat laporan polis.

Panggilan kemudian disambungkan kepada seorang lagi suspek yang memperkenalkan diri sebagai Sarjan Chong.

"Suspek mendakwa mangsa terbabit dengan kes pengubahan wang haram, namun wanita itu menafikan perkara itu," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohd Wazir berkata, mangsa kemudian mengikut segala arahan yang diberikan oleh suspek sebelum pada 3 Ogos lalu meletakkan sampul surat yang mengandungi kad ATM, buku Tabung Haji dan buku ASB miliknya di sebuah pondok telefon berdekatan Masjid Beserah di sini.

"Suspek memberitahu ia bertujuan untuk siasatan dan membersihkan nama mangsa daripada salah laku jenayah. Mangsa yang tidak mengesyaki apa-apa mengikut segala arahan yang diberikan oleh suspek," katanya.

Katanya lagi, pada 27 Ogos lalu, mangsa membuat semakan di Bank Islam dan mendapati wang di dalam akaunnya berjumlah RM236,994.90 dipindahkan ke dalam akaun individu yang tidak diketahui bermula 2 Ogos hingga 10 Ogos lalu.

Beliau berkata, mangsa yang menyedari dirinya ditipu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan semalam.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebatan, serta boleh didenda, jika sabit kesalahan.