Seorang wanita warga emas dilaporkan hilang sejak Sabtu lalu ketika keluar rumah dipercayai untuk mencari ulam-ulaman di Kampung Jaya, Batu 10, Semanggol, Kerian, di sini.

Mangsa, Fatimah Mat, 72, keluar rumah sekitar pukul 10 pagi menuju ladang kelapa sawit berhampiran rumahnya.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, pihaknya menerima panggilan daripada pihak polis pada 1.03 petang Khamis untuk meminta bantuan mencari mangsa.

“Pihak bomba menggunakan Unit K9 dalam mengesan mangsa yang hilang dan operasi pencarian masih dijalankan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Sementara itu, jurucakap Angkatan Pertahanan Awam (APM) pula berkata, pusat kawalan tempat kejadian (PKTK) telah dibuka pada 2 petang Khamis dan operasi pencarian telah diteruskan pada 9 pagi Jumaat.

Menurutnya, operasi pencarian dilakukan lebih 80 anggota daripada pelbagai agensi APM, JBPM, PDRM, Rela dan Jabatan Amal Malaysia dengan dibantu penduduk kampung.