Warga emas cenderung dieksploitasi untuk dijadikan mangsa penderaan kewangan oleh keluarga dan orang luar.

Pendedahan menerusi kajian Universiti Malaya itu menunjukkan satu daripada 10 warga emas di negara ini dilaporkan terbabit dalam penderaan kewangan.

Menurut Pensyarah Jabatan Perubatan Universiti Malaysia, Profesor Madya Dr Noran Hairi, kajian yang mula dilakukan sejak 2015 mendapati situasi penderaan kewangan membabitkan warga emas turut berlaku di seluruh dunia.

"Kajian yang kami jalankan mungkin hanya menunjukkan jumlah yang kecil daripada bilangan yang besar. Kebarangkalian kejadian ini mungkin lebih tinggi.

"Kejadian ini berpunca ahli keluarga yang merasakan itu adalah hak mereka dan apabila kita melihat teknologi perbankan bertambah baik, warga emas ini lebih terdedah untuk dieksploitasi," katanya dalam satu sidang media di Petaling Jaya pada Ahad.

Kajian bertajuk Inisiatif Menangani Penderaan dan Pengabaian Warga Emas ini dijalankan oleh Jabatan Perubatan Kemasyarakatan dan Pencegahan, Fakulti Perbuatan Universiti Malaya.

Dr. Noran turut mendedahkan penderaan dan penganiayaan terhadap warga emas turut melibatkan penderaan fizikal, mental dan seksual.

"Kami sudah buat pembentangan kepada pihak kementerian dan beberapa mesyuarat telah dijalankan.

"Antara perkara yang kami harapkan adalah untuk mewujudkan satu akta bagi melindungi warga emas di negara ini. Kalau kita lihat negara-negara jiran kita sudah ada akta ini sejak tahun 2000.

"Sebelum kami menjadi negara tua, kami berharap supaya ada polisi dan undang-undang untuk warga emas kita," katanya.

Sementara itu, Timbalan Kementerian Pembangunan Wanita, Masyarakat dan Keluarga Hannah Yeoh turut mengakui kesedaran golongan muda berhubung penjagaan warga emas semakin berkurangan.

"Saya mengambil maklum bahawa penderaan kewangan terhadap warga emas ini sering berlaku.

"Golongan warga emas yang bergantung kepada keluarga terdekat untuk melakukan perbankan, kemudian mereka dipaksa memberi harta dan simpanan. Ini adalah penderaan kewangan. Kita kena beri kesedaran," kata Hannah selepas menghadiri acara berjalan kaki sempena 'Hari Datuk dan Nenek 2018' di UM, pada Ahad.

Katanya, kerajaan sentiasa mengambil berat isu melibatkan warga emas menerusi penubuhan pelbagai pusat aktiviti selain menggesa pihak berkuasa tempatan mewujudkan pelbagai kemudahan kepada golongan tersebut.