Seorang warga emas tanpa diduga mengelar lehernya sendiri sehingga maut selepas terbabit kemalangan di Batu 5 Jalan Kampung Sri Tiram Jaya, Tanjung Karang, Selangor.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat kejadian dipercayai berlaku pada 2.53 pagi, sejurus selepas kenderaan jenis Mercedes C200 yang dipandu lelaki berusia 66 tahun itu terbabit kemalangan dengan sebuah kereta jenis Perodua Myvi.


"Mangsa yang memandu kereta Myvi berusia 40 tahun dan maut di tempat kejadian manakala warga emas ini dalam keadaan selamat dan boleh berkomunikasi ketika cuba dibantu oleh orang awam yang berada di tempat kejadian.

"Ketika itu juga beberapa orang awam telah melihat pemandu Mercedez telah mengeluarkan pisau boleh laras dan terus mengelar lehernya sendiri dan dia meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam satu kenyataan, pada Sabtu.

BACA: Dua maut, kereta terhumban dalam parit di Tanjung Karang


Mengulas lanjut, Fadzil berkata bedah siasat telah dijalankan di Hospital Tanjung Karang dan mendapati pemandu Mercedez itu maut disebabkan luka yang dalam sehingga menyebabkan pendarahan teruk di bahagian leher.

"Sehubungan itu, dua kertas siasatan telah dibuka iaitu dibawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Mati Mengejut (SDR).