Seorang warga emas dijatuhi hukuman denda RM2,400 oleh Mahkamah Syariah Kuala Terengganu hari ini kerana berkhalwat dengan pasangannya yang bukan Islam.

Warga emas, 65, yang masih berstatus suami turut berdepan hukuman sebulan penjara sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.

Hakim Syarie membuat keputusan itu selepas lelaki yang beralamat dari Kampung Gelugor Kedai, di sini, mengaku salah atas pertuduhan mengikut Seksyen 31(a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 kerana berkhalwat.

Berdasarkan fakta kes, pada 2 Januari lalu, jam 10.15 pagi, satu serbuan dilakukan ke atas sebuah hotel murah di Jalan Dato' Issacs, di sini, selepas menerima aduan awam .

Ketika sampai, didapati pintu lobi hotel terbuka manakala pintu grill tertutup rapat dan berkunci dari dalam serta tinjauan mendapati tiada sesiapa yang duduk berhadapan dengan pintu hotel.

Bagaimanapun, selepas menjenguk ke dalam lobi hotel, terdapat seorang wanita sedang duduk di celah kelangkang seorang lelaki yang mana kedua-dua tangan lelaki itu sedang memegang bahu perempuan tersebut di atas sofa.

Selepas memberi salam, perempuan itu terus bangun dari kelangkang lelaki itu dan membuka pintu grill seperti diarahkan.

Hasil pemeriksaan mendapati mereka berdua sahaja berada di lobi hotel itu dan siasatan mendapati mereka tiada hubungan suami isteri atau mahram.

Pendakwaan dikendalikan Pendakwa Syarie, Khanurulhajja Mustafar.