Niat seorang warga emas untuk menunaikan solat subuh secara berjemaah di Masjid Kampung Bukit Bayas tidak kesampaian apabila mangsa terjatuh lalu lemas di dalam tali air di kampung tersebut, di sini.

Mayat Ariffin Abdullah, 62, dijumpai penduduk kampung kira-kira jam 12.28 tengah hari pada Ahad.

Sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian, mangsa yang menunggang bersendirian dipercayai gagal mengawal motosikalnya berikutan cuaca buruk.

Mangsa dipercayai tercampak ke dalam air kemudiannya dihanyutkan arus deras.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Idris Abd Rafar berkata pihaknya menerima laporan mengenai penemuan motorsikal tanpa pemilik di tebing tali air kampung berkenaan kira-kira jam 12.18 tengahari.

Katanya curiga dengan motorsikal dalam keadaan terbalik itu orang ramai melakukan gerakan mencari sebelum menemui mangsa sepuluh minit kemudian.

"Mayat mangsa ditemui kira-kira 50 meter dari motorsikalnya," katanya.

Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk tindakan lanjut dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.