Seorang warga emas maut selepas terjatuh bersama forklift yang dinaikinya ketika proses menaikkan jentera tersebut ke tingkat 4 sebuah bangunan di Perai, Pulau Pinang, pada Isnin.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 11.40 pagi itu menyebabkan mangsa, Isahak Mohamed, 65, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah yang dialami.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Perai berkata, kejadian berlaku ketika jentera forklift tersebut sedang dinaikkan ke tingkat 4 bangunan dengan menggunakan sebuah kren.

Mangsa dipercayai turut berada di dalam forklift tersebut ketika dinaikkan sebelum jentera itu terjatuh bersama mangsa.

"Sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian pihak JBPM Perai mendapati seorang lelaki telah terjatuh bersama forklift yang dinaikinya.

"Mangsa telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan oleh Pegawai Perubatan dari Hospital Seberang Jaya," katanya dalam kenyataan di sini pada Isnin.

Mayat mangsa kemudiannya di hantar ke Hospital Seberang Jaya untuk proses bedah siasat.