Dua warga Orang Asli maut selepas kereta dinaiki terhumban ke dalam gaung di Batu 9 Jalan Tapah - Cameron Highlands pada petang Selasa.

Dalam kejadiaan kira-kira jam 3 petang itu, mangsa Jantan Putih, 66, dan Bah Rajin Bah Gadong, 83, kedua-duanya berasal dari Tapah, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Tapah Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa dalam perjalanan ke Cameron Highlands sebelum kemalangan itu berlaku.

"Kemalangan dipercayai berlaku apabila kenderaan Proton Saga itu hilang kawalan lalu terbabas ke sebelah kanan jalan sebelum masuk ke gaung pada kedalaman kira-kira 20 meter.

"Pemandu dan penumpang mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Tambah beliau, kedua-dua mayat telah dikeluarkan oleh pihak bomba dan dihantar ke Hospital Tapah untuk bedah siasat.