Seorang wanita warga emas maut sementara rakannya parah selepas motosikal yang dinaiki dirempuh sebuah kereta dipercayai dipandu lelaki mabuk.

Kejadian berlaku jam 8.20 malam tadi di hadapan sebuah tokong dekat Jalan Air Panas Setapak, ibu negara.

Penunggang motosikal dikenali sebagai Nun See Moi berusia 63 tahun maut dilokasi kejadian.

Rakannya yang cedera parah di kepala dikenali sebagai Kim Foong dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur bagi menerima rawatan.

Menurut saksi, mangsa yang menunggang motosikal terbabit dikatakan gagal mengelak kenderaan yang dipercayai dipandu dalam keadaan laju.

Pemandu kereta berkenaan sempat ditahan orang ramai dan diserahkan kepada pihak polis.

Kes disiasat mengikut seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.