Seorang warga emas orang kelainan upaya (OKU) berdepan detik cemas selepas dibawa ‘makan angin’ hampir 100 kilometer (KM) oleh individu tidak dikenali, semalam.

Mohd Alip Mustan, 72 disedari hilang dari kediamannya di Kampung Ismail, Ampangan di sini sekitar 9 malam tadi selepas dipercayai dibawa oleh dua lelaki menaiki sebuah teksi.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim berkata, bagaimanapun lelaki warga emas yang mengalami masalah lembam dan pertuturan itu ditemui oleh seorang pemandu perkhidmatan e-hailing, Grab di sekitar Stadium Selayang, Selangor sebelum menghantarnya ke Balai Polis Batu Caves.

“Kita terima laporan kehilangan warga emas ini di Balai Polis Rahang semalam dan menurut saksi, mangsa menaiki sebuah teksi bersama dua lelaki di hadapan rumahnya sekitar jam 4 petang.

“Selain saksi yang berniaga air tebu kira-kira 50 meter dari kediaman mangsa, kita juga turut mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sebuah kedai runcit berhampiran yang menunjukkan mangsa masuk ke dalam teksi berkenaan,” katanya ketika dihubungi di sini.

Terdahulu, kisah kehilangan warga emas itu tersebar di media sosial sejak Rabu dan didakwa diculik oleh individu tidak dikenali.

Mengulas lanjut, Mohd Said berkata kejadian ini diklasifikasikan sebagai kes orang hilang, namun siasatan terperinci masih dijalankan.

“Pemandu Grab itu terima pesanan di Stadium Selayang untuk membawa pelanggan ke Taman Cempaka Selayang, mangsa bagaimanapun gagal menunjukkan rumah sebelum dibawa ke Balai Polis Batu Caves.

“Kenderaan itu didaftarkan di atas nama syarikat di Seri Kembangan dan polis sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan pemandu dan penumpang teksi berkenaan," katanya lagi.