Kerajaan sedang memberi tumpuan dan fokus untuk menyediakan negara serta bakal warga emas untuk menghadapi masa tua dengan lebih baik.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menjelaskan, ia seiring Dasar dan Pelan Tindakan Warga Emas Negara di bawah tanggungjawab Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

"Di antara inisiatif kementerian sedia ada ke arah warga emas sihat dan aktif adalah penubuhan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) dan program Khidmat Bantu di rumah atau Home Help, yang memberikan khidmat sokongan kepada warga emas di rumah oleh sukarelawan kebajikan.

"Selain itu, 'respite care' iaitu perkhidmatan penempatan warga emas secara sukarela buat tempoh tertentu di Rumah Seri Kenangan Cheras.

"Kerajaan juga turut memberikan bantuan kewangan untuk sedikit sebanyak meringankan beban dan menampung keperluan asas warga emas seperti Bantuan Orang Tua pada kadar RM350 sebulan, serta bantuan kepada penjaga pesakit warga emas yang kronik sebanyak RM300 sebulan," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Program Lawatan Turun Padang di Rumah Ehsan Kuala Kubu Baru di sini, hari ini.

Tambahnya, selain daripada aspek sosial di bawah KPWKM, aspek kesihatan umum warga emas terletak di bawah tanggungjawab Kementerian Kesihatan.

Ia turut melibatkan perkhidmatan, program dan aktiviti yang menumpukan kepada kesihatan warga emas berpandukan kepada Dasar Kesihatan Warga Emas Negara.

Rumah Ehsan Kuala Kubu Bharu menempatkan 109 penghuni dari peringkat umur 30 sehingga 80 dan ke atas dengan kakitangan seramai 74 orang.

Kata Dr Wan Azizah, kementeriannya melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat berusaha sedaya mungkin untuk menyediakan penjagaan jangka panjang asas kepada penghuni Rumah Ehsan dan institusi warga emas yang lain.

Ini bagi memastikan warga emas berada dalam persekitaran yang selesa dan selamat sehingga mereka meninggal dunia.

Lawatan Dr Wan Azizah ke Rumah Ehsan merupakan antara perkara pertama yang dilaksanakan setelah memegang portfolio Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Warga emas merupakan satu daripada lapan kumpulan sasar Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Kumpulan sasar lain termasuk wanita, kanak-kanak, keluarga, orang papa, orang kurang upaya, mangsa bencana dan NGO.

Perkara ini juga adalah selari dengan salah satu iltizam di dalam Buku Harapan, di mana kerajaan berazam untuk mengangkat darjat warga emas yang telah membuat sumbangan tidak ternilai kepada negara melalui inisiatif-inisiatif tertentu.

Malaysia akan mencapai status negara tua pada tahun 2030, dengan kadar 15 peratus daripada populasi adalah yang berumur 60 tahun dan ke atas.