Seorang lelaki warga emas ditemukan rentung selepas gagal menyelamatkan diri dalam kebakaran yang memusnahkan lima buah rumah di Kampung Lembising, Putatan, petang Rabu.

Mangsa, Sarulai Ompoit, 87 ditemui dengan keadaan badannya terbakar teruk dan ketika kejadian warga emas tersebut difahamkan berseorangan di kediamannya.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Misran Bisara ketika ditemui berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 2.54 petang sebelum sepasukan anggota dikejarkan ke lokasi untuk operasi pemadaman.

Menurut beliau, kebakaran itu turut mengakibatkan sekurang-kurangnya 30 individu tinggal sehelai sepinggang selepas kediaman mereka musnah.

"Telah terima panggilan 2.54 petang di mana kebakaran berlaku di lokasi melibatkan lima buah rumah. Kita telah menghantar (pasukan daripada) dua balai yang melibatkan 20 anggota dengan menggunakan dua jentera dan juga dibantu tanker.

"Cuma agak menyedihkan ada seorang mangsa berumur 87 tahun. Saya difahamkan mangsa ini agak uzur tidak berdaya untuk menyelamatkan diri, sungguhpun begitu pasukan bomba kali ini dapat mengawal kebakaran daripada merebak," katanya.

Misran berkata, kebakaran itu berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 4.33 petang Rabu sementara bomba tidak menolak kemungkinan kejadian itu disebabkan aktiviti memasak.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Petagas, Datuk Uda Sulai turut berkesempatan melawat mangsa kebakaran di lokasi kejadian.

Menurutnya, kesemua mangsa yang terlibat akan ditempatkan di Pusat Penempatan Sementara (PPS) di daerah Putatan untuk tindakan lanjut.

"Insyallah kita akan usahakan bantuan yang perlulah dari segi kebajikan dan kita punya ADUN di mana kita dapat bantu untuk semua mangsa yang terlibat," katanya.