Warga emas rugi RM560,000 ditipu Macau Scam

Warga emas rugi RM560,000 ditipu Macau Scam
Seorang warga emas berusia 71 tahun mengalami kerugian sebanyak RM560,000 selepas menjadi mangsa sindiket penipuan Macau Scam, Isnin lepas.
KUALA LUMPUR: Seorang warga emas berusia 71 tahun mengalami kerugian sebanyak RM560,000 selepas menjadi mangsa sindiket penipuan Macau Scam, Isnin lepas.

Menurut Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Risikin Satiman modus operandi yang digunakan suspek ialah dengan melakukan penipuan melalui telefon dan menyamar sebagai Pegawai Kanan Polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak.

“Suspek memaklumkan mangsa mempunyai beberapa kes bungkusan melibat pos laju dan akaun pengadu terlibat dalam kegiatan jenayah pengubahan wang haram.
“Mangsa berasa takut dan telah disambungkan ke beberapa talian pegawai polis. Mangsa ditawarkan bantuan dan juga telah diarah untuk pindahkan segala wang simpanan kepada akaun Pegawai Bank Negara untuk tujuan audit dan siasatan. Wang mangsa akan dikembalikan selepas siasatan selesai,” katanya dalam satu kenyataan, pada Rabu.

Mengulas lanjut Risikin berkata hasil risikan polis dengan kerjasama pihak bank, seorang lelaki berusia 60 tahun ditahan ketika cuba mengeluarkan wang berjumlah RM250,000 di kaunter sebuah bank di Kuala Lumpur.

Jelas beliau, penangkapan itu dibuat hasil pemantauan dan siasatan apabila suspek telah mengeluarkan sejumlah wang yang banyak pada hari sebelumnya.

“Polis turut merampas satu buku akaun bank, resit transaksi pengeluaran dan wang, permohonan reman akan dibuat terhadap suspek.

“Suspek merupakan pembantu di sebuah pasar malam dan Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” jelas beliau.

Sementara itu, Risikin turut menjelaskan statistik kes penipuan Macau Scam bagi Daerah Subang Jaya melibatkan sebanyak 18 kes dengan jumlah kerugian sebanyak RM802,970.10 sejak Januari 2019 hingga kini.

Manakala, sebanyak 82 kes Macau Scam melibatkan kerugian sebanyak RM 5,924,971.63 bagi tahun lepas.



Tag: warga emas, Macau Scam, Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Risikin Satiman, wang haram, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak, Warga emas rugi setengah juta


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.