Warga emas sempat ambil wuduk, solat subuh ketika air mulai naik

|

MEMBAKUT: : Seorang warga emas yang ingin mengambil wuduk terkejut apabila bahagian bilik mandi di rumahnya dinaiki air ekoran hujan lebat di daerah itu sejak semalam.

Mangsa Piah Matnor, 72 tahun berkata, sebaik sahaja menyedari air mulai naik, dia bergegas mengambil wuduk lalu menunaikan solat subuh.

Katanya, usai solat, dia segera mengejutkan beberapa ahli keluarga sebelum menunggu bantuan agensi penyelamat.

"Pada subuh tadi, makcik pergi ke bilik untuk mengambil air sembayang dan melihat air telah mulai naik di bilik mandi."

"Makcik jadi kelam kabut kerana air naik dengan cepat, ditambah lagi lokasi rumah makcik berhampiran dengan sungai dan ketika kami dipindahkan air telah sampai ke paras pinggang," katanya ketika ditemui di Pusat Pemindahan Sementara Dewan Serbaguna Membakut di sini malam tadi.

Selain itu, seorang murid darjah lima dari SK Pekan Membakut Arissa Nurasyiqin Jamludin turut berkongsi rasa sedih kerana tidak dapat hadir ke sekolah untuk mengikuti sesi pembelajaran.

"Saya berasa sedih kerana tidak dapat hadir ke sekolah untuk mengikuti sesi pembelajaran dan berjumpa dengan kawan-kawan tetapi saya redha dan serahkan kepada tuhan sahaja," katanya.

Sementara itu, Pegawai Daerah Beaufort Mohd Shaid Othman berkata, seramai 246 mangsa banjir dipindahkan ke dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) susulan banjir kilat yang berlaku di daerah ini, setakat jam 7.30 malam tadi.

Menurutnya, proses pemindahan masih giat dijalankan dengan bantuan pelbagai agensi dan jabatan berkaitan.

"Situasi banjir pada kali ini melibatkan 18 buah kampung dan 84 buah keluarga yang telah dipindahkan di dua PPS.

"Ketika ini dari aspek bekalan bantuan makanan dan keperluan lain mencukupi serta tidak ada masalah timbul.

"Cuma pagi tadi kita mengalami kekurangan logistik untuk membawa mangsa keluar dari lokasi terjejas tetapi telah berjaya diselesaikan," katanya ketika ditemui media di pusat pemindahan sementara mangsa banjir, hari ini.

Antara kampung yang terjejas dengan kejadian berkenaan adalah Kampung Jambatan Baru, Kampung Papas, Kampung Kayai, Kampung Limadang, Kampung Brunei, Kampung Lampuas, Kampung Takapan, Kampung Pusak, Kampung Baitam dan Kampung Dungau.

Kejadian berkenaan turut menyebabkan tujuh buah sekolah ditutup iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Membakut, SK Kampung Bambangan, SK Lago, SK Jabang, SK Lembah Poring, SK Tamalang dan SK Sikono.
Outbrain