Tutup

Warga emas tabah jaga 5 anak OKU walau terpaksa tempatkan mereka dalam bangsal

Warga emas tabah jaga 5 anak OKU walau terpaksa tempatkan mereka dalam bangsal
Beginilah keadaan bangsal yang menempatkan anak-anak Mamat @ Mohd Zain Idris yang OKU. - Gambar Astro AWANI,
TUMPAT: Dari pandangan mata kasar, tindakan Mamat @ Mohd Zain Idris, 70, dari kampung  Paloh Chica, di sini menempatkan tiga oang anaknya yang juga orang kelainan upaya (OKU) dalam sebuah bangsal berukuran reban ayam adalah tidak wajar.

Sementara, dua lagi anaknya yang juga OKU dipisahkan dan ditempatkan di sebuah rumah lain.

Kerana tindakan itu juga warga emas berkenaan sering menerima pandangan kurang manis daripada masyarakat.

Namun begitu, biar apa sekalipun persepsi negatif diterimanya, Mamat punya sebab kenapa dia berbuat demikian.
Mamat atau dikenali penduduk dengan panggilan Pok Jeng merupakan bapa kepada 10 orang anak dengan lima daripada mereka merupakan OKU.

Sebagai ketua keluarga, Pok Jeng berhadapan dengan cabaran untuk memelihara anak-anak termasuk yang mengalami masalah mental dan lembam.
Bagaimanapun, Pok Jeng tidak pernah mengeluh jauh sekali untuk berasa kecewa dengan ujian Allah buatnya.

Sekalipun, dia sendiri memiliki kekurangan kerana patah tangan dan bengkok kaki, Pok Jeng tabah mengharungi ujian yang digalas ke atasnya.

Bagi Pok Jeng, tindakan menempatkan anak-anak yang mengalami masalah mental dalam bangsal kecil yang saling tidak ubah seperti reban ayam adalah kerana kelima-lima OKU itu tidak boleh ditempatkan bersama kerana bimbang dihimpit masalah tekanan perasaan.

“Saya menyayangi anak-anak, namun disebabkan penyakit tekanan mental yang dihadapi memaksa saya meletakkan mereka berasingan dalam bilik kecil umpama reban di sekeling rumah saya,” kata Pok Jeng menceritakan situasi sebenar.

Pok Jeng berkata demikian kepada wartawan dalam sesi lawatan pengamal media bersama badan bukan kerajaan termasuk Persatuan Pegawai Tadbir Negeri Kelantan dalam program Ziarah Kasih Ramadan di kediamannya pada Khamis.

Pok Jeng berkongsi kisah penderitaannya. - Gambar Astro AWANI





Kata Pok Jeng, dia membina sebuah bangsal kecil dari kayu terbuang bagi menempatkan Mohd Fakrul Anuar, 46, Mohd Aris, 36, serta Mohd Hanafiah, 34.

Dua lagi anaknya yang OKU tinggal sebumbung dengannya ialah Nor Albaniah, 27, yang sudah berumah tangga serta disara suaminya serta Samsuri, 25.

Pada usia sedemikian, Pok Jeng juga tidak terlepas daripada memikul tanggungjawab memelihara dan membesarkan empat orang cucu berusia antara enam hingga 15 tahun.

Pok Jeng memelihara cucu-cucunya itu kerana tiga orang anak perempuannya gagal dalam perkahwinan mereka dan meninggalkan anak-anak di bawah tanggungjawabnya.

“Saya menyara dan membesarkan anak-anak serta cucu dengan ihsan sedekah orang ramai kerana sudah tidak larat untuk bekerja sebagai buruh lagi.

"Sebelum ini saya bekerja sebagai buruh dan buat kerja kampung termasuk menanam pokok Bonsai untuk dijual, namun disebabkan patah tangan dan bengkok kaki saya tak dapat bekerja berat lagi,” kata Pok Jeng lagi.

Dugaan Pok Jeng dalam memelihara anak-anak sangat besar kerana anak keduanya disahkan sakit mental selepas kematian isteri pertama.

Anak ketiga warga emas itu pula mengalami masalah yang sama selepas terlibat dalam kemalangan semasa menunggang motosikal sehingga terbabas dan terlanggar tiang elektrik menyebabkan kecederaan di kepala.

"Anak keempat pula terkena renjatan elektrik turut mengalami masalah mental. Pok Jeng tanggung semua, tak rasa tertekan, sabarlah, Alhamdulillah reda dengan apa yang Allah uji,” kata lelaki itu.

Pok Jeng bagaimanapun bersyukur kerana adiknya yang berjiran dengannya tidak pernah jemu menghulurkan bantuan dan makanan untuk dia sekeluarga.

Dalam masa sama, kehidupan Pok Jeng diuji dengan penderitaan isterinya, Aminah Harun, 55, yang perlu menjalani pembedahan tiroid dalam waktu terdekat.

Sebelum ini, Aminah banyak membantu menyara keluarga namun sejak penyakit tiroid dan jantung, dia terpaksa berhenti kerja sebagai pembantu kantin setahun lalu.

Menurut Pok Jeng, selain menguruskan makan dan minum anak-anaknya yang OKU, dia juga harus berulang-alik menghantar tiga cucunya ke sekolah Kebangsaan (SK) Padang Pohon Tanjong dan tadika dengan motosikal.

Selain itu anaknya yang mengalami mental dan tekanan perlu mendapatkan rawatan dan pemeriksaan di klinik dan hospital secara berkala.

Kesemua anak istimewa Pok Jeng bagaimanapun tidak mempunyai kad OKU kerana sehingga kini dia belum mendaftarkan mereka dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).


Tag: Warga emas tabah jaga 5 anak OKU, OKU, Tumpat, Kelantan



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.