Warga emas yang pengsan selepas terjatuh ketika melakukan aktiviti pendakian di Gunung Korbu, Hulu Kinta dekat sini pada Ahad, disahkan meninggal dunia hari ini.

Mangsa, Lee Khian Seng, 60 tahun, memulakan pendakian di kawasan tersebut bersama-sama 12 pendaki lain dan 11 pemandu arah sejak Jumaat.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Perak, Mohamad Yunus Abu berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian itu pada 10.29 pagi Ahad.

Menurutnya, mangsa dikatakan terjatuh pada ketinggian enam meter dan mengalami kecederaan di bahagian kepala.

Seramai 20 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh dihantar ke tempat kejadian dengan dibantu enam anggota dari Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

“Mangsa yang cedera dibawa keluar dari lokasi dengan menggunakan helikopter dari Unit Udara JBPM. Mangsa kemudiannya telah disahkan meninggal dunia oleh pihak KKM dan diserahkan kepada pihak polis,” katanya pada Isnin.

Pada Ahad, Ketua Zon 1 JBPM Perak, Mohd Khairul Jamil berkata, berdasarkan maklumat daripada saksi, lokasi mangsa berada mengambil masa dua hari untuk tiba.

Menurutnya, lokasi pendakian itu merupakan kawasan hutan tebal dan mangsa juga dikatakan berada di puncak gunung.