Polis berjaya menahan tiga suspek termasuk seorang wanita selepas aksi kejar-mengejar dengan suspek yang menaiki kenderaan jenis Honda Civic di Lebuhraya Pasir Gudang.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS), Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata enam buah Unit Kereta Peronda (MPV) terlibat dalam adegan kejar mengejar itu yang berlaku sejauh 35 kilometer selama 35 minit, pada Rabu malam.

Katanya, kejadian jam 7.45 malam itu berlaku apabila seorang anggota Polis MPV ternampak kenderaan yang dinaiki suspek ini dalam keadaan mencurigakan sebelum mengarahkannya berhenti dengan membunyikan siren.

"Bagaimanapun kereta yang dipandu suspek tidak mahu berhenti untuk pemeriksaan dan terus memandu laju.

"Dengan bantuan MPV IPD Seri Alam, MPV JBS terus mengejar suspek yang turut bertindak memandu lawan arus ketika di Seri Alam," katanya dalam kenyataan media di sini.

Kata Shahurinain, dalam aksi kejar-mengejar itu, kenderaan suspek turut melanggar sebuah MPV IPD Seri Alam dan dua buah kereta milik orang awam.

Katanya, anggota MPV terus mengejar sehingga ke Jalan Datin Halimah, Larkin sebelum kenderaan suspek terbabas sendiri.

“Anggota MPV terus mengejar kereta tersebut sehingga ke Jalan Datin Halimah, Larkin. Ketika sampai di situ kereta tersebut terbabas dan menghadang pembahagi jalan akibat kesesakan jalan raya pada ketika itu.

"Dua suspek lelaki terbabit bertindak melarikan diri sejauh 100 meter sebelum mereka akhirnya berjaya ditahan. Manakala seorang suspek wanita masih berada di dalam kereta itu.

"Ketiga-tiga mereka ditahan di tempat kejadian dan dibawa ke Balai Polis Larkin untuk tindakan lanjut,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 28(i) Akta Kesalahan Kecil 1955.

Hasil siasatan mendapati kereta yang digunakan suspek direkodkan dalam laporan kereta hilang di Kota Damansara.

Pihak polis turut merampas sebatang 'allen key' yang diubah suai, spanar, pengumpil kuku kambing, dompet dan 'remote' kereta berlogo Honda dan Mitsubishi.

Shahurinain berkata ujian air kencing terhadap mereka mendapati kesemuanya positif dadah dan mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan kes dadah dan penglibatan kes berkaitan sindiket dadah.

Kesemua suspek direman sehingga 9 Februari ini.