Biarpun berdepan pembatalan, Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dianggap boleh memberi manfaat kepada masyarakat Pantai Timur dalam jangka masa panjang.

Rata-rata penduduk di Kuantan merasakan bahawa ECRL, yang kini dikatakan bakal menelan belanja RM55 billion, dapat mengurangkan kesesakan jalan raya dan memudahkan perjalanan penduduk yang mahu berulang-alik dari Kuala Lumpur ke negeri-negeri di Pantai Timur.

Pesara kerajaan Ismail Latif, 65 tahun, berharap projek ECRL dapat diteruskan kerana ia bakal menghubungkan kawasan pendalaman dan kampung dengan kawasan bandar.




Ismail Latif.

Jelasnya, kemudahan yang boleh menghubungkan kawasan bandar dan luar bandar ini mampu merancakkan pembangunan di kawasan-kawasan sekitarnya terutama di luar bandar.

“Bagi saya, kalau diteruskan projek ini bagus juga, tetapi kalau dari segi kewangan negara kita tidak mampu menanggungnya, maka projek ini mungkin dibatalkan, kerana tidak mahu negara ditimpa masalah,” katanya kepada Astro AWANI.

Hazwani Husna Mohd Khairuddin.
Manakala Hazwani Husna Mohd Khairuddin, seorang pelajar berusia 19 tahun di sebuah universiti swasta di Kuantan, menganggap projek mega tersebut akan memberi kemudahan di masa hadapan.

“Terutamanya pada waktu sambutan Hari Raya Aidilfitri dan juga sambutan-sambutan perayaan lain, pastinya kemudahan kereta api boleh melancarkan perjalanan balik kampung.

"Saya harap projek ini dapat diteruskan bagi memberi lebih banyak kemudahan di masa akan datang,” katanya.

Bagi Norsofiya Nordin, dia percaya projek ECRL boleh mengurangkan kadar kesesakan lalu lintas di lebuh raya yang digunakan oleh penduduk di pantai timur.

Jansi Batumalai.
Sementara itu, Jansi Batumalai pula berkata, projek ECRL akan mengurangkan risiko kemalangan di lebuh raya kerana tidak ramai orang akan memandu sendiri lagi untuk pulang ke rumah kerana mereka akan menaiki kereta api.

Mohd Aliff Fauzan Baharudin.
Namun, Mohd Aliff Fauzan Baharudin, 23 tahun, bersetuju tindakan kerajaan persekutuan untuk meneliti semula projek mega tersebut merupakan satu keputusan yang tepat.

“Berdasarkan apa yang disebut oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai risiko projek ini, ia harus diambil dengan serius.

"Jika terma projek ini sebenarnya tidak memuaskan dan lebih membebankan, maka kami lebih selesa menggunakan kemudahan sedia ada kerana ia lebih dari mencukupi,” jelasnya.

Projek laluan kereta api sepanjang 688 kilometer ini akan menghubungkan Pelabuhan Klang, Selangor, Pahang, Terengganu dan Kelantan. Projek ini dijangka bakal disiapkan pada tahun 2024.

BACA: Projek ECRL libatkan kos lebih RM55 bilion - Tun Daim

BACA: ECRL bukan pelaburan, ia pinjaman bank dari China - Prof Jomo


Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan Tun Daim Zainuddin minggu lalu berkata kos projek tersebut dijangka akan terus meningkat apabila memasuki fasa kedua ditambah dengan kadar faedah yang perlu ditanggung.

Projek ini sedang dalam penelitian kerajaan untuk dibatalkan jika didapati lebih banyak memudaratkan dari menguntungkan negara.