"Campur tangan antara kerajaan tidak akan memberi kesan ketara terhadap keputusan mahkamah".

Demikan penjelasan yang diberikan oleh Presiden Persekutuan Keadilan dan Keamanan Muslim Sweden, Yasri Khan mengenai kes pasangan suami isteri warga Malaysia yang ditahan di Sweden ketika ini.

Menurut Yasri, undang-undang di Sweden amat tegas apabila menyentuh soal ibu bapa yang memukul anak dan mereka memandang serius akan hal ini.

Sweden merupakan antara negara yang kuat mempertahankan undang-undangnya dan Yasri berkata, undang-undang Sweden sentiasa mendahulukan kebajikan anak-anak sebelum ibu bapa.

Ikuti perbualan bersama Yasri Khan mengenai campur tangan antara kerajaan.


Sementara itu, apabila ditanya sama ada suara anak-anak tersebut akan diberi pertimbangan di mahkamah jika mereka mahu kembali kepada ibu bapa mereka, Yasri berkata, ada kemungkinan permintaan mereka akan ditolak.

"Undang-undang Sweden selari dengan undang-undang Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) yang akan memberi kelebihan kepada anak-anak agar suara mereka diberi pertimbangan. Jadi di sini, ada kemungkinan anak-anak itu akan dapat kembali bersama ibu bapa mereka.

"Walaubagaimanapun, jika pihak mahkamah Sweden mendapati keputusan ini bakal membahayakan anak-anak tersebut, mereka akan menolak permintaan itu berdasarkan kebaikan anak-anak itu sendiri," kata Yasri.

Apabila kes seperti ini timbul, Yasri menyatakan kerisauan beliau mengenai penghantaran anak-anak Muslim kepada keluarga angkat yang bukan beragama Islam.

"Saya harap keluarga Muslim akan tampil untuk menawarkan diri membantu dalam kes-kes begini. Ini bagi mengelak anak-anak ini terpaksa tinggal bersama keluarga bukan Islam. Jika di rumah tersebut ada minuman seperti arak atau mereka membela anjing, mungkin suasana ini tidak sesuai bagi kanak-kanak Muslim untuk tinggal di situ," jelas Yasri.

Klik video bagi mengikuti perbualan bersama Yasri mengenai harapan beliau kepada keluarga Muslim.


Baru-baru ini, sepasang warga Malaysia dilapor ditahan polis Sweden kerana dikatakan menghukum anak mereka atas sebab tidak menunaikan solat.

Semalam, Astro AWANI difahamkan bahawa tahanan reman terhadap pasangan tersebut dilanjutkan kepada dua minggu selepas pendengaran semula kes beberapa hari lepas.

Hari ini, Pergerakan Wanita Umno pula meminta pejabat Peguam Negara meneliti prosedur untuk membawa pulang empat anak kepada pasangan suami isteri tersebut.