Tiada sebarang pendakwaan dikenakan ke atas pasangan suami isteri warga Malaysia yang ditahan di Sweden setakat ini.

Astro AWANI difahamkan, tahanan reman pasangan itu dilanjutkan dua minggu lagi semasa pendengaran semula kes itu, kelmarin.

Lanjutan tempoh tahanan reman pasangan itu difahamkan, berkemungkinan kerana pendakwa raya masih lagi mengumpul bukti berhubung kes itu.

Bagaimanapun, pasangan itu berpeluang untuk dibebaskan sekiranya pihak polis tidak mempunyai bukti mencukupi untuk mendakwa mereka.

Pasangan itu, Azizul Raheem Awalludin dan isteri, Shalwati Nurshal ditahan sejak 18 Disember lalu atas dakwaan memukul anak lelaki mereka kerana tidak menunaikan solat.

Azizul merupakan Pegawai Kanan Tourism Malaysia di Stockholm dan isterinya seorang guru sekolah menengah yang mengambil cuti tanpa gaji.

Sweden mempunyai undang-undang yang melarang ibu-bapa memukul, mencederakan atau memalukan anak-anak.

Kanak-kanak dilarang dihukum secara fizikal, baik ringan mahupun berat dan undang-undang berkenaan dikuatkuasa sejak 1979.

Undang-undang tersebut bertujuan memupuk konsep penjagaan anak yang positif serta membendung penderaan terhadap kanak-kanak.

Ia selaras dengan komitmen inisiatif yang giat dikempenkan di pentas antarabangsa iaitu melarang anak-anak daripada dihukum secara fizikal.

Undang-undang berkenaan sudah dikuatkuasakan di lebih 30 negara termasuk Sweden.