Warga Malaysia semua peringkat umur, termasuk warga emas perlu bersama dalam melaksanakan tanggungjawab memerangi wabak COVID-19 dengan mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan.

Pertubuhan Bukan Kerajaan Warga Emas dan Gabungan Persatuan Pengamal Perubatan dalam kenyataan media bersama pada Jumaat berkata walaupun Perintah Kawalan Pergerakan telah membataskan aktiviti harian mereka, ia adalah cara paling selamat untuk menangani krisis itu.

"Ini adalah tempoh yang membimbangkan terutama bagi warga tua dan ahli keluarga mereka. Sukar untuk membayangkan apabila kita tidak boleh keluar selama dua minggu, tetapi itu adalah perkara yang wajib kita lakukan. Duduk di rumah!

"Tujuan Perintah Kawalan Pergerakan ini adalah untuk memastikan kita mengamalkan penjarakan sosial. Ini bermakna kita harus menjauhkan diri daripada individu lain bagi mengelakkan dijangkiti. Tolong menjadi individu yang bertanggungjawab di saat-saat getir ini," katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, mengamalkan kebersihan diri seperti kerap mencuci tangan sekurang-kurangnya 20 saat menggunakan pencuci pembasmi kuman dan mengamalkan etika batuk dan bersin dengan betul adalah penting, walaupun setelah Perintah Kawalan Pergerakan berakhir.

-- BERNAMA