Seorang lelaki warga Nepal maut ditikam rakan senegara dalam pergaduhan di rumah pekerja di ladang buah-buahan Kampung Gapis, Nyalas di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Jasin DSP, Arshad Abu berkata dalam kejadian kira-kira 12.15 tengah malam itu, mangsa, Rajkumar Rai, 22 tahun, dipercayai bergelut dengan suspek Raman Salami, 23 tahun, berdasarkan kesan tompokan darah di dinding dan permukaan tangga di rumah berkenaan.

"Kedua-dua mereka merupakan pekerja di ladang terbabit dan pemeriksaan awal ke atas mangsa mendapati terdapat banyak kecederaan 'slash wound' iaitu kesan tikaman daripada senjata tajam sebelum lelaki itu mati di tempat kejadian.

"Namun, tiada sebarang senjata ditemui di tempat kejadian yang dipercayai digunakan oleh suspek yang melarikan diri dan jumlah luka tikaman akan diketahui semasa bedah siasat kelak," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata paramedik dari Hospital Jasin yang hadir di tempat kejadian di ladang buah-buahan seluas kira-kira dua hektar itu mengesahkan anggaran masa kematian mangsa adalah dalam tempoh 24 jam.

Arshad berkata gerakan mengesan suspek telah dijalankan dengan bantuan anggota K9 dan anjing pengesan dalam keluasan lima kilometer radius namun tidak menjumpai sebarang jejak suspek.

Katanya orang awam yang mempunyai sebarang maklumat kejadian terbabit diminta menghubungi polis dan sekiranya didatangi oleh suspek yang meminta bantuan berikutan dia turut mendapat kecederaan, segera melaporkan di balai polis berhampiran.

-- BERNAMA