Gagal patuhi peraturan jalan raya, sejumlah 92 penunggang motosikal dikenakan tindakan dalam sekatan jalan raya di Jalan Kemajuan, di sini pada Rabu.

Salah seorang daripadanya merupakan warga Pakistan berusia dalam lingkungan 30-an.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu, Abdul Rahman Emang Anyie berkata, warga asing itu ditahan kerana tidak mempunyai lesen memandu yang sah.

“Sebagai warga asing, dia sepatutnya (tahu), negara Pakistan tersenarai dalam negara yang boleh mengubah lesen kepada lesen memandu antarabangsa.

“Mungkin dalam kes ini, orang yang menunggang motosikal ini tidak mendapat maklumat ataupun memang dalam proses untuk membuat ubahsuai tersebut,” jelas Abdul Rahman.

Beliau berkata demikian selepas operasi khas motosikal sempena Operasi Tahun Baharu Cina 2018 di Kuala Terengganu malam tadi.

Dalam operasi itu, sebanyak 119 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan. Tujuh buah motosikal dan sebuah kereta turut disita.

Sementara itu, lima pasangan turut diberi notis untuk hadir ke sesi kaunseling di Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu.