Polis tidak menolak kemungkinan warga Pakistan yang dikhuatiri lemas di Pantai Petak Paka, Dungun pada Rabu lalu hanyutkan ke arah perairan Kemaman.

Timbalan Ketua Polis Daerah Dungun, DSP Mohamad Zohan Seman berkata ia berdasarkan kepada kes-kes sebelum ini di mana kebanyakan mangsa lemas dikesan sekitar perairan kawasan perindustrian petroleum.

Justeru itu, pihaknya meminta agar pihak swasta dan nelayan turut bekerjasama dalam usaha mengesan mangsa di sekitar perairan tersebut.

"Kita minta bantuan daripada jiran di sini seperti YTL, Petronas, untuk turut membuat pemantauan. Kemungkinan mangsa dihanyutkan ke kawasan mereka. Kalau ada, mereka akan maklumkan kepada pihak kita.

"Setakat ini kita cuma berhubung dengan mereka, mintak pemantauan dibuat sama. Mungkin mangsa dihanyutkan di daerah Kemaman," katanya.

Mohamad Zohan berkata, pusat gerakan operasi mencari dan menyelamat telah ditutup sepenuhnya pada jam 7 petang jumaat.

Namun, operasi mencari dan menyelamat masih tetap diteruskan dengan meminimakan anggota pasukan mencari dan menyelamat di sepanjang pantai tersebut sehingga mangsa ditemui.

Jelasnya, operasi yang memasuki hari ketiga pada Jumaat membabitkan 45 kekuatan daripada pelbagai agensi.

Terdahulu pada Rabu (6 Feb), kegembiraan empat sahabat warga Pakistan bermandi-manda sambil bermain bola di dalam air bertukar tragedi selepas seorang daripada mereka lemas.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari itu, mangsa yang dikenali sebagai sebagai Mohamad Bilal Mohamad Akram, 24 tahun, dipercayai hilang ketika berenang ke tengah laut untuk mendapatkan bola.