Warga Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Bernama perlu mengakui akan keperluan untuk mengubah pemikiran dan kandungan produk keluaran kedua-dua media rasmi kerajaan itu.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo berkata, perubahan itu perlu dilakukan bagi membolehkan produk mereka dapat bersaing dengan media lain di peringkat doemstik mahupun antarabangsa.

“Apabila kita melihat kepada kandungan yang boleh bersaing dengan saluran lain seperti BBC atau CNN, kita perlu selesaikan masalah itu secara fizikal.

“Kita perlu mencari mekanisma kepada semua wartawan RTM dan Bernama untuk mendapatkan berita lebih cepat daripada media lain,” katanya ketika menjadi tetamu kepada stesen radio BFM awal pagi tadi, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai proses pelaksanaan gabungan antara Bernama dan RTM.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Puchong itu juga menyatakan terdapat tiga pandangan dan pendekatan berbeza mengenai gabungan kedua-dua media tersebut.

“Satu pandangan berpendapat Bernama perlu memainkan peranan antarabangsa dengan menyampaikan berita berkait antarabangsa manakala RTM akan melihat kepada kandungan domestik.

“Pandangan kedua ialah gabungkan kedua-duanya menjadi satu dan menjana kandungan yang baharu untuk kedua-dua media. Manakala pandangan ketiga ialah untuk memastikan saluran berita itu beroperasi 24 jam.

Sementara itu, mengulas mengenai sekiranya terdapat sentimen penjawat awam yang masih kekal setia kepada kerajaan terdahulu, Gobind menyatakan beliau tidak mempunyai masalah berkenaan di kementeriannya.

“Persoalannya ialah bagaimana semua orang nak sesuaikan diri dengan masing-masing, peribadinya saya tidak merasai sebarang rintangan dan ramai penjawat awam yang menyumbang serta memberi kerjasama kepada saya.

“Tetapi sudah pasti, kerajaan, polisi dan orang baharu jadi ia memerlukan masa,” jelasnya.