Warga Rusia maut terjun kondominium

Warga Rusia maut terjun kondominium
Mangsa maut di tempat kejadian. - Astro AWANI/Dewi Nur Harasha Alias
GEORGE TOWN: Tertekan akibat masalah rumah tangga dipercayai punca seorang wanita warga Rusia nekad membunuh diri dengan terjun dari tingkat 25 sebuah kondominium di Tanjong Bungah, di sini, pada Ahad.

Dalam kejadian jam 6.30 pagi itu, mangsa yang dikenali sebagai Katya, 36 tahun, ditemui mati di tingkat sembilan kondominium tersebut oleh rakannya.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, siasatan awal mendapati mangsa telah pergi menemui rakannya di kondominium terbabit selepas dikatakan tertekan kerana mempunyai masalah dengan suaminya.

Jelasnya, rakannya itu, yang juga pelajar di sebuah Universiti di Pulau Pinang, kemudian mahu menghantar mangsa pulang namun mangsa enggan berbuat demikian.

Rakan mangsa kemudian masuk ke bilik air untuk mandi dan sebaik keluar dari bilik air dia mendapati mangsa sudah tiada dalam rumah.

Dia terus keluar bagi mencari mangsa dan terkejut apabila melihat tubuh mangsa tertiarap di tingkat sembilan bangunan itu.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Sehingga kini polis masih sedang mengesan waris serta suami mangsa yang berusia 60 tahun.