Seorang lelaki warga Singapura membayar saman bernilai RM28,000 bagi 116 saman tertunggak sejak tahun 2000 selepas ditahan dalam satu operasi di perkarangan Muzium Tokoh, di sini petang semalam.

Lelaki berusia 60an itu adalah antara mereka yang ditahan dalam Operasi Saman Tertunggak Warganegara Asing (OSTWA) yang dilaksanakan di dua lokasi berasingan negeri ini, sejak Jumaat lepas.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Mohd Nadzri Hussain berkata menerusi operasi tersebut, sebanyak 3,174 saman atas pelbagai kesalahan telah berjaya diselesaikan, membabitkan 2,687 warganegara Singapura dan 487 warga tempatan.

"Sepanjang operasi dilaksanakan sehingga pagi ini, kita telah dapat mengutip bayaran saman kira-kira RM611,000 di kedua-dua lokasi.

"Ia adalah bayaran bagi 3,174 daripada 247,278 saman tertunggak yang dicatat terhadap pemilik dan pemandu kenderaan Singapura sejak tahun 2000 hingga 2019," katanya kepada pemberita selepas meninjau operasi berkenaan di muzium itu, di sini hari ini.

Mohd Nadzri berkata, kutipan dijangka akan mencecah sehingga RM750,000 menjelang tengah malam ini.

Tambahnya selepas operasi tamat, mana-mana pesalah trafik terutamanya warga Singapura boleh menyemak saman dan melakukan pembayaran melalui dua mesin kiosk di Balai Polis Trafik Johor Bahru Selatan.

Warga Singapura juga boleh membayar saman Polis Diraja Malaysia (PDRM) di negara mereka sendiri melalui kira-kira 900 mesin AXS.

"Selain itu, medium utama yang boleh digunakan untuk menyemak dan membayar saman adalah melalui kaunter trafik COPS di seluruh Ibu Pejabat Polis Daerah yang menerima bayaran secara tunai, kad debit, kad kredit, draft bank dan wang pos.

"Mereka juga boleh berbuat demikian melalui portal myeg.com.my dan rilek.com.my serta menerusi pejabat pos dan ATM Maybank," katanya.

Menurut Mohd Nadzri, apabila sistem permit masuk kenderaan (VEP) dilaksanakan, semua pesalah trafik Singapura yang mempunyai saman polis atau Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) adalah diwajibkan menjelaskan bayaran saman mereka, sebelum dibenarkan pulang ke republik berkenaan.

"Operasi ini sebenarnya adalah ke arah itu juga iaitu sebagai persediaan untuk pelaksanaan sistem VEP. Jadi, kita sarankan, mana-mana pesalah trafik Singapura tampil lah segera membayar saman mereka sekarang tanpa kita perlu sentiasa melaksanakan operasi," katanya. - BERNAMA