Pengurniaan pesawat jenis Lake Renegade LA-270 kepada Universiti Tun Hussein Onn (UTHM) oleh Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar yang diumumkan semalam disambut baik kerana akan memudahkan pengajaran dan pembelajaran bidang kejuruteraan aeronautik.

Dekan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan UTHM, Prof Madya Dr Shahruddin Mahzan@Mohd Zin berkata sebelum ini pengajaran dan pembelajaran kebanyakannya dijalankan secara teori sahaja.

Katanya pelajar juga perlu melakukan sesi pembelajaran praktikal dengan 'menumpang' di institusi pengajian swasta yang mempunyai pesawat sebenar yang mampu terbang berbanding dengan yang dimiliki oleh UTHM ketika ini yang tidak boleh diterbangkan .

Dengan pengurniaan pesawat berkenaan, ia sekali gus akan membantu UTHM dalam usahanya membangunkan sebuah pusat pengajiannya di Tanjung Laboh, di sini dengan menempatkan sebuah landasan kapal terbang, bangunan pentadbiran serta bengkel bagi keperluan sesi pengajaran terbabit, katanya.

"Dengan adanya kemudahan terbabit, pihak kami yakin akan melahirkan lebih ramai lagi individu yang bakal memenuhi keperluan industri penerbangan di masa akan datang," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

"Kita juga yakin pertambahan program serta peringkat pengajian dalam bidang penerbangan ini turut akan berlaku, termasuklah peringkat sarjana kerana (adanya) kemudahan pesawat," katanya.

Selain satu-satunya universiti di negara dan rantau ini (Asia Tenggara), UTHM juga ialah satu daripada empat universiti di dunia yang mempunyai lesen untuk pengajaran berkenaan, dengan tiga lagi di Amerika Syarikat, United Kingdom dan Australia.

Sehingga kini, pihak UTHM telah berjaya melahirkan 15 graduan dalam bidang berkenaan dan kesemua mereka telah memenuhi kehendak industri dengan bertugas di beberapa syarikat penerbangan seperti Malaysia Airlines Bhd, Air Asia dan Malindo Air.

Shahruddin berkata pihaknya berasa bertuah, serta menjunjung setinggi-tinggi kasih di atas perkenan Sultan Johor untuk kurniaan sebuah pesawat bagi sesi pengajian di universiti berkenaan.

Sementara itu, seorang daripada pensyarah fakulti itu, Dr Nur Kamilah Yusuf berkata ketika ini UTHM memiliki sebuah pesawat jenis Learjet untuk sesi pengajian namun keadaan pesawat berkenaan hanya sesuai untuk sesi pengajian asas sahaja kerana ia tidak mampu untuk diterbangkan.

Jelas beliau, di UTHM kini mempunyai satu program pengajian yang membabitkan penerbangan iaitu Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Aeronautik (Penerbangan Profesional), dan merancang untuk menambah satu lagi program pengajian iaitu Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Aeronautik (Penyelenggaraan Pesawat).

"Amat bertepatanlah sekiranya kami mempunyai pesawat sebenar yang mampu diterbangkan, dan amat berterima kasih kepada baginda kerana kurniaan pesawat terbabit dilihat ia dapat melengkapkan sesi pengajaran dan pembelajaran.

"Kami sebagai tenaga pengajar menyambut baik sokongan daripada Tuanku yang juga Canselor UTHM di dalam melengkapkan pembelajaran yang lebih komprehensif," katanya dan menambah pihak UTHM akan memanfaatkan pesawat berkenaan dengan sebaik mungkin.

-- BERNAMA