Waris mangsa MH17 ada hak tuntut pampasan tambahan

Waris mangsa MH17 ada hak tuntut pampasan tambahan
Menurut Syed Iskandar, tindakan jenayah yang akan diambil terhadap suspek boleh menjadi satu landasan untuk membincangkan pembayaran pampasan, sekiranya kerajaan Rusia mengaku bertanggungjawab. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Waris mangsa nahas MH17 masih berupaya menunaikan beberapa hak undang-undang mereka sementara menanti perbicaraan kes itu bermula pada Mac 2020.

Menurut peguam Dr Syed Iskandar Syed Jaafar, antaranya adalah hak untuk menuntut pampasan terus dari pihak yang bertanggungjawab terhadap insiden tersebut.

Ini katanya, walaupun waris mangsa sudah dibayar pampasan oleh syarikat insurans sebelum ini.

“Tindakan jenayah yang akan diambil (terhadap empat suspek) boleh menjadi satu landasan untuk membincangkan pembayaran pampasan, sekiranya kerajaan Rusia mengaku bertanggungjawab.

“Ini seperti mana (pembayaran pampasan kepada) waris dan ahli keluarga tragedi pengeboman Pan Am pada tahun 1988,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.

BACA: MH17: Tiga warga Rusia, seorang warga Ukraine dikenal pasti sebagai suspek 

Pada 2008, Libya mengaku bertanggungjawab terhadap pengeboman pesawat Pan Am 103 di Lockerbie, Scotland dan bersetuju membayar pampasan berbilion dolar Amerika kepada waris mangsa yang terlibat.
Tetapi kata beliau, cabaran yang didepani kini adalah tiada negara atau individu mengaku bertanggungjawab terhadap insiden penembakan MH17.

“Mereka sendiri pun tak tahu siapa yang bertanggungjawab, jadi yang nak disaman itu siapa?

“Yang nak dijadikan defendan itu kita tak tahu siapa. Waris-waris sudah sedia ada sebagai plaintif, hampir 300 keluarga plaintif,” katanya.

BACA: MH17: Ini info mengenai suspek di sebalik nahas

Beliau bagaimanapun optimistik terdapat beberapa cara untuk waris mangsa nahas MH17 cuba mendapat keadilan.

“Cara yang paling cepat ialah para waris mendapatkan perkhidmatan pasukan penyiasat persendirian yang dikenali di peringkat antarabangsa yang mempunyai kredibiliti untuk menyiasat.

“Mereka ini biasanya bekas penyiasat CIA, KGB, dan mempunyai kelengkapan untuk menyiasat serta mengenal pasti pesalah-pesalah sebenar,” katanya.

Tambahnya, penyiasat persendirian juga tidak akan mempunyai kepentingan atau agenda untuk melindungi mana-mana negara.

Sebelum ini, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyuarakan kekhuatiran bahawa penyiasatan kes MH17 mungkin dicemari agenda politik untuk menyalahkan Rusia.

BACA: Malaysia tak percaya Rusia yang jatuhkan pesawat MH17 - Tun Mahathir 

Sementara itu, Syed Iskandar turut menggesa kerajaan melihat semula hasrat meratifikasi Statut Rom.

Kata beliau dengan menjadi ahli statut tersebut, Malaysia berupaya membawa kes MH17 ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa untuk perbicaraan dan pendakwaan yang lebih telus dan komprehensif.

“Ini kerana kes akan dikendalikan oleh barisan panel hakim dan pendakwa yang terdiri daripada ahli panel bebas dari pelbagai negara,” katanya.

BACA: PBB sahkan Malaysia tarik diri daripada Statut Rom

Tambahnya, dalam perbicaraan yang bakal bermula tahun hadapan, barisan panel dan hakim akan ditentukan oleh sistem perundangan Belanda.