Kegagalan pewartaan tanah rizab Orang Asli (OA) menjadi antara punca isu pencerobohan tanah jenis itu semakin meruncing.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mengakui perkara tersebut berkata, pada ketika ini tanah rizab OA di seluruh negara berada dalam fasa akhir pengukuran sebelum diserahkan ke kerajaan negeri untuk diwartakan.

Jelasnya, kementerian sudah mengenal pasti 132,631.04 hektar tanah rizab OA yang merangkumi kawasan kebun dan perumahan untuk manfaat serta pembangunan masa depan masyarakat berkenaan.

"Sehingga hari ini, kita telah pun mewartakan 32,779.37 hektar, manakala yang telah diluluskan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri dan masih menunggu untuk diwartakan adalah 19,870.08 hektar.

"Tanah yang siap diukur seluas 74,838.86 hektar dan sudah diserahkan kepada kerajaan negeri, manakala yang sedang diukur, 5,142 hektar.

"Kita jangka sebelum akhir tahun ini, semua tanah OA siap diukur sepenuhnya dan akan diserah kepada kerajaan negeri untuk diwartakan," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan Datuk Seri Hasan Arifin (BN-Rompin) yang membangkitkan isu penularan pencerobohan tanah rizab OA di seluruh negara, sekaligus meletakkan masyarakat yang lazimnya tinggal di pedalaman berkenaan dalam keadaan ditindas.

Selain itu, kementeriannya kini turut menumpukan usaha terhadap tiga aspek merangkumi inisiatif membangunkan prasarana asas, memacu ekonomi dan memperkasakan tahap OA bagi melonjak taraf sosio-ekonomi mereka.

Ini kerana, 80 peratus daripada perkampungan OA sudah mendapat liputan jalan, manakala bekalan air dan elektrik pula berada pada tahap 81 peratus.

KKLW mensasarkan semua kampung OA bakal menikmati 100 peratus bekalan air dan elektrik menjelang 2023.