Kerajaan mengambil keputusan untuk menghalang kemasukan wartawan Al Jazeera Mary Ann Jolley ke negara ini kerana didapati boleh memudaratkan keselamatan negara dan ketenteraman awam.

Menurut Kementerian Dalam Negeri (KDN), Akta Imigresen 1959/63 memberi kuasa kepada Ketua Pengarah Imigresen menyekat kemasukan mana-mana warga negara asing ke Malaysia setelah mempercayai individu berkenaan boleh membawa kemudaratan kepada keselamatan negara.

KDN menyatakan demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Hee Loy Sian (PKR-Petaling Jaya Selatan) yang ingin mengetahui sebab Jolley dihalang masuk ke negara ini pada persidangan Dewan Rakyat di sini pada Selasa.

Jolley, warganegara Australia, yang merupakan pengacara rancangan 101 East di saluran Al Jazeera telah dihalang masuk ke Malaysia dan dihantar pulang ke negara asalnya pada 14 Jun 2014.

Berhubung soalan Hee mengenai sama ada siasatan terhadap Koperal Sirul Azhar Umar ditutup semenjak beliau melarikan diri ke Australia, KDN memaklumkan bahawa siasatan ke atas kes yang melibatkan Sirul Azhar telah selesai dan hukuman telahpun dijatuhkan oleh Mahkamah Persekutuan ke atas tertuduh.

"Sehubungan dengan itu, tidak timbul lagi isu berkaitan penutupan siasatan kes berkenaan," menurut KDN.