Saluran berita Astro AWANI sekali lagi mendapat pengiktirafan selepas wartawan penyiaran dan penyampai berita, Khairunnisa Kasnoon memenangi Anugerah Kewartawanan Kesihatan Terbaik 2015 di sini, malam ini.

Khairunnisa menerima hadiah wang tunai RM5,000 selepas laporannya bertajuk "Bahana Denggi" tentang bahayanya nyamuk Aedes dalam membawa kepada virus demam denggi di negara ini, dipilih sebagai pemenang kategori televisyen.

Ini merupakan tahun kedua Khairunnisa menerima anugerah tersebut selepas turut memenanginya tahun lalu.

Anugerah berkenaan disampaikan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam dalam satu majlis penganugerah yang berlangsung di Hotel Seri Pacific di sini, pada malam Jumaat.

Dalam pada itu Subramaniam dalam ucapannya turut mengingatkan semua pengamal media agar mendapatkan pandangan pakar dan profesional dalam bidang perubatan sebelum menulis sesuatu laporan.

Ini kerana sesuatu laporan yang dibuat boleh memberikan implikasi dan tanggapan salah kepada masyarakat sekiranya tidak dibuat mengikut fakta dan pandangan profesional.