Wartawan sambilan sebuah akhbar tempatan yang terlibat dalam satu kemalangan pada petang Khamis di Kilometer 90.3 Jalan Kota Bharu-Machang, di Kampung Gemang di sini meninggal dunia awal pagi tadi.

Shamsul Bahari Mohamed, 46, meninggal dunia di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII), Kota Bharu sekitar jam 4 pagi tadi.

Menurut Ketua Polis Daerah Jeli, Deputi Superintendan Mohd Yusuff Jaafar, dalam kemalangan sekitar jam 4 petang semalam, mangsa yang menaiki motosikal dikatakan bergesel dengan sebuah lori yang diparkir di bahu jalan.

"Motosikal mangsa hilang kawalan sebelum berlanggar dengan sebuah kereta dari arah bertentangan," katanya dalam satu kenyataan.

Shamsul yang mengalami pendarahan dalam kepala, remuk lutut kiri dan patah tangan kiri di bawa ke Hospital Jeli sejurus selepas kemalangan sebelum dirujuk ke HRPZII malam tadi.

Jenazah mangsa akan dituntut keluarga pagi ini dan akan dikebumikan di kampung halamannya di Jeli, hari ini.