Pemahaman berkenaan pendekatan Wasatiyyah di kalangan generasi muda mampu membendung penglibatan golongan itu dalam gerakan ekstremis agama, kata Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.

Katanya perkembangan teknologi maklumat mendedahkan masyarakat, khususnya generasi muda Malaysia, kepada ideologi berasaskan agama yang bertentangan dengan nilai Islam sebenar dan ia perlu diimbangi segera supaya fahaman sempit itu dapat dibendung.

Menjadikan gerakan-gerakan ekstremis di peringkat antarabangsa yang giat merekrut anak muda dari negara-negara Islam sebagai contoh dan mahu ia dibendung, Khairy berkata pemahaman terhadap pendekatan Wasatiyyah yang menyeluruh mampu menghalang golongan sasar daripada terjebak.

"Penting bagi kita untuk memberi penerangan yang menyeluruh berkenaan Islamic State (IS) bahawa apa yang dilakukan adalah tidak betul dan cara mereka yang cenderung kepada peperangan dan keganasan sebenarnya tidak konsisten dengan ajaran Islam yang sebenar," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Seminar Pendekatan Wasatiyyah peringkat kementeriannya di sini hari ini.

"Selain tindakan oleh pasukan keselamatan, kita juga akan bekerjasama dengan Institut Wasatiyyah untuk terus memperhebatkan kempen kesedaran berkenaan pendekatan Wasatiyyah bagi memastikan perang saraf daripada pihak IS melalui media sosial dapat diatasi," katanya.

Khairy berkata pemahaman yang baik tentang konsep Wasatiyyah juga membantu membentuk kesatuan pemikiran yang positif di kalangan belia dalam setiap tindakan yang diambil.

Dalam pada itu, katanya, kementerian itu sedang menimbangkan untuk memperluaskan peranan program sukarelawan MyCore, yang kini tertumpu kepada usaha membantu negara Islam ketika berhadapan bencana alam kepada agenda lebih besar seperti membantu dari segi pembasmian kemiskinan, kemunduran dan akses kepada pendidikan dan kesihatan.

Khairy berkata penubuhan sebuah badan sukarelawan di peringkat antarabangsa juga adalah penting kerana antara faktor golongan muda cenderung menyertai gerakan Islamic State ialah mereka tidak mempunyai saluran untuk menyalurkan 'tenaga' atau idealisme dalam membantu masyarakat Islam di negara lain.

"Kalau kita dapat wujudkan badan sukarelawan di peringkat antarabangsa, maka kita dapat menyalurkan idealisme dan tenaga anak-anak muda ini kepada aktiviti-aktiviti yang lebih produktif dan bermanfaat daripada menyertai Islamic State, yang kononnya berjuang atas nama Islam," katanya.