Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini memperkenalkan buku baharu tulisan beliau, "Wasatiyyah: Idea dan Realiti".

Ia merupakan buku keenam Perdana Menteri dan diterbitkan bersama Institut Wasatiyyah Malaysia (IWM) dan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM).

Menurut Perdana Menteri, usaha membukukan konsep berkenaan adalah dalam usaha membudayakan Wasatiyyah atau kesederhanaan sehingga ke peringkat antarabangsa.

"Kita perlu membudayakan (wasatiyyah) sebab kalau kita sekadar memberi ucapan, mungkin ia bukan sesuatu yang boleh dijadikan khazanah masyarakat kita dan masyarakat antarabangsa.

"Sebab itu ia adalah dalam dwi-bahasa supaya ia dipromosikan di peringkat antarabangsa dan harapan saya untuk membudayakan pemikiran ini supaya akhirnya ia jadi nilai pegangan," katanya dalam sesi wawancara bersama Sayed Munawar Sayed Mohd Mustar selepas pelancaran buku 'Wasatiyyah: Idea dan Realiti' di Seri Perdana di sini hari ini.

Buku berkenaan menceritakan pengalaman Malaysia dalam menguruskan lima konflik hubungan antarabangsa yang memperlihatkan aplikasi daripada pendekatan wasatiyyah.

Perdana Menteri mengemukakan enam bab menerusi buku itu yang dimulakan dengan penjelasan maksud wasatiyyah dan bagaimana pendekatannya dipraktikkan di negara ini.

Lima bab seterusnya menyentuh perihal lima isu iaitu konflik perdamaian Bangsamoro di Filipina, tragedi MH17, fahaman dan tindakan ekstrem pengganas, impak generasi muda terhadap masa depan negara, dan sokongan berterusan Malaysia terhadap perjuangan Palestin.

Secara tidak langsung, buku berkenaan menguruskan konflik menggunakan teras pendirian wasatiyyah, sekali gus membolehkan pembaca memahami pentingnya pendirian dan kesungguhan kerajaan menerapkan konsep pemikiran tersebut khususnya kepada rakyat Malaysia dan penduduk dunia.

Menurut Perdana Menteri, wasatiyyah perlu digunakan dalam berdepan keganasan atau ekstrimisme.

"Tidak mencukupi jika kita menggunakan kuasa ketenteraan tetapi yang paling mujarab sekali adalah kita membudayakan wasatiyyah ini sebagai pegangan nilai kita," kata beliau lagi.

Dalam pada itu katanya, beliau turut menggunakan pendekatan wasatiyyah semasa berunding dengan pihak ketua pemisah Ukraine, Alexander Borodai dalam tragedi MH17.

"Apabila menjadi seorang Perdana Menteri, kita kena buat keputusan kepada satu pertimbangan kita, yang kita fikir 'on balance', bahawa satu keputusan itu harus dilaksanakan dan mendatangkan kebaikan kepada kita," jelasnya.

Najib juga mengakui, misi Malaysia untuk mendapatkan jenazah mangsa MH17 dan kotak hitam pesawat berdepan jalan lebih sukar jika pendekatan sedemikian tidak dilakukan.

"Mungkin sukar untuk kita dapatkan jenazah mangsa dan kotak hitam. Malah, kotak hitam itu mungkin dimusnahkan, dan jenazah itu lambat diperolehi sebab kita akan masuk dalam barcode, bar code pro, separaties, atau barcode pro dengan NATO," tambahnya.

'Wasatiyyah: Idea dan Realiti' setebal 89 halaman dijual dengan harga RM40.

Ia diterbitkan dalam dwi-bahasa dan boleh didapati di Kedai Buku 1Malaysia dan rangkaian kedai buku utama Malaysia, selain pembelian secara dalam talian di www.itbm.com.my atau www.iwm.jpm.my