Orang ramai diingatkan supaya lebih berwaspada ketika membawa keluarga melakukan aktiviti air pada musim cuti persekolahan memandangkan 50 peratus kadar kemalangan lemas di negeri itu berlaku ketika tempoh tersebut.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Sharikan Bustaman berkata dalam tempoh 1 Jan sehingga hari ini, sebanyak 17 kes lemas direkodkan di seluruh negeri membabitkan 12 kematian iaitu tujuh kes berlaku di pantai dan laut, sungai (9 kes) dan air terjun (1 kes).

"Oleh itu, saya ingatkan orang ramai supaya jangan terlalu bergembira dan mengawasi anak-anak dengan baik ketika di dalam air kerana malang tidak berbau.

"Sentiasa peka kepada tanda amaran yang dikeluarkan pihak berkuasa manakala pelancong luar pula boleh bertanya kepada penduduk setempat mengenai keadaan pantai atau sungai di lokasi yang dikunjungi," katanya kepada pemberita pada Kempen Keselamatan dan Aktiviti Di Air Sempena Cuti Persekolahan di Pantai Tok Jembal, di sini pada Ahad.

Katanya lagi, selain pantai dan sungai, kawasan tali air juga adalah lokasi berisiko dan sering menjadi tempat kanak-kanak bermain, justeru ibu bapa harus lebih peka terhadap aktiviti yang dilakukan oleh anak-anak.

-- BERNAMA