Tutup

'Wawasan 2020 perlu diangkat semula sebagai agenda negara'

'Wawasan 2020 perlu diangkat semula sebagai agenda negara'
OSMAN: Saya melihat Wawasan 2020 ada berbagai pembangunan dalam aspek ekonomi, orang Melayu, bumiputera dan sebagainya. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor Datuk Osman Sapian mencadangkan agar Wawasan 2020 diangkat semula sebagai agenda pembangunan ekonomi dan bumiputera.

Jelasnya semasa ditemui pada hari kedua Perhimpunan Agung Tahunan ke-2 Bersatu di sini, aspirasi negara cetusan Tun Dr Mahathir Mohamad itu adalah wadah perjuangan yang perlu diberi tumpuan.
“Apa yang diilhamkan Perdana Menteri, bahawa walaupun tidak nampak kejayaan, tetapi kita mahu wawasan ini masa akan datang akan lebih diangkat untuk orang Melayu, walaupun sudah diubah.

"Kerana, saya melihat Wawasan 2020 ada berbagai pembangunan dalam aspek ekonomi, orang Melayu, bumiputera dan sebagainya,” katanya pada Sabtu.
Wawasan 2020 merupakan wawasan pembangunan negara diperkenalkan oleh kerajaan pimpinan Dr Mahathir ketika pembentangan Rancangan Malaysia Keenam di Parlimen pada 1991.

Ia bertujuan menjadikan Malaysia sebuah negara perindustrian dan maju, serta mewujudkan masyarakat penyayang.

Dalam pada itu, Osman berkata, generasi muda dan wanita sebagai pewaris masa depan negara perlu mengambil iktibar daripada nasihat Dr Mahathir dalam usaha memastikan kebajikan orang Melayu dan kaum lain terpelihara.

BACA: Saya akan dituduh rasis, tetapi... - Tun M

Terdahulu, ketika menyampaikan ucapan dasar beliau, Dr Mahathir meminta kaum Melayu dan Bumiputera meletakkan kepercayaan kepada Bersatu untuk menyelamat dan membawa kejayaan kepada mereka.

Tegasnya, parti berkenaan tahu bagaimana Melayu dan Bumiputera lain boleh berjaya, sambil menambah, orang Melayu kini berada dalam keadaan tidak menentu dan hilang haluan susulan kekalahan parti yang mewakili mereka sebelum ini.