Defisit kepercayaan terhadap agensi penguatkuasa negara menghalang rakyat daripada menyalurkan maklumat berkaitan salah laku dan rasuah kepada badan-badan kerajaan ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Hal Ehwal Demokrasi dan Ekonomi (IDEAS) Wan Saiful Wan Jan berkata, keyakinan dan kepercayaan rakyat semakin pudar berikutan wujudnya persepsi negatif yang menyifatkan urusan agensi penguatkuasa dicemari campur tangan politik.

“Perkara ini (defisit kepercayaan) adalah akibat permainan politik yang telah berlaku sejak sekian lama yang mana pelbagai institusi dalam negara dituduh dengan pelbagai tuduhan.

“Polis dituduh tidak boleh dipercayai, SPRM (Suruhanjaya Pencagah Rasuah Malaysia) dituduh tidak boleh dipercayai, kehakiman dituduh tidak boleh dipercayai, dan sebagainya.

“Akibatnya, ada sesetengah pihak dalam masyarakat kita sekarang ini tidak mempercayai ketelusan dan amanah insititusi yang terbabit,” tambah Wan Saiful kepada Astro AWANI di Kajang, Selangor pada Ahad.


Jelas beliau, akibat campur tangan politik, kesan penyiasatan tidak dilihat menjurus kepada menegakkan keadilan namun lebih bersifat melindungi pihak-pihak tertentu.

“Kita tidak boleh menafikan bahawa ada juga unsur-unsur politik dalam apa yang berlaku di Malaysia terutama sejak kebelakangan ini.

"Jadi kesan-kesan yang mereka cari bukan keadilan, tapi kesan yang mereka cari adalah kesan politik, iaitu apabila didedahkan satu maklumat, ada pihak yang akan terkesan dari segi politik namun tidak diambil tindakan ke atasnya di mahkamah.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan peguam bela, Syahredzan Johan dalam buletin AWANI:745 pada Sabtu yang melihat ada di antara masyarakat tidak mahu atau kurang yakin dari segi memberi maklumat kepada agensi-agensi penguatkuasa kerana badan-badan ini dilihat sedang menghadapi krisis keyakinan daripada rakyat.

Menurut Syahredzan, Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711) mempunyai beberapa kelemahan.

Antaranya pemberi maklumat hanya boleh menyalurkan maklumat kepada agensi penguatkuasaan jika mahu mendapat perlindungan dalam akta ini.

Lantaran itu, Wan Saiful mencadangkan agar akta ini dipinda dengan memperkenal badan bebas bagi membantu institusi penyiasatan dan perundangan negara disamping meraih kembali kepercayaan rakyat terhadap agensi penguatkuasa negara.

“Katalah kalau sekiranya yang mempunyai maklumat itu adalah pengamal media. Kemudian, agensi yang paling berkait dengan mereka adalah SKMM.

“Kalau sekiranya mereka tidak percaya kepada SKMM, siapa yang akan memberi perlindungan? Sebab kebimbangan mereka ialah, dia buat laporan kepada SKMM, kemudian tiba-tiba SKMM siasat dia pula.

“Maka perlu ada badan bebas yang boleh dipercayai dan memberi perlindungan kepada mereka (pemberi maklumat),” tambah beliau.

Beliau mencadangkan institusi seperti Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) sebagai badan bebas yang boleh dipercayai dalam melindungi mereka yang menyalurkan maklumat.

Pagi tadi Presiden Transparency International - Malaysia (TI-M) Datuk Akhbar Satar turut mencadangkan kerajaan mewujudkan strategi baru bagi mengembalikan kepercayaan pemberi maklumat terhadap enam buah agensi yang bertanggungjawab melindungi mereka.

Penerangan yang lebih jelas mengenai Akta Perlindungan Pemberi Maklumat perlu dilakukan dan bukan hanya memberikan pendedahan kepada agensi berkenaan semata-mata, kata Akhbar.

Sebelum ini Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar pada Sabtu menegaskan pemberi maklumat hanya dilindungi undang-undang apabila mereka menggunakan saluran yang betul untuk mendedahkan salah laku.