Wisma BSN, ibu pejabat Bank Simpanan Nasional (BSN) dan cawangan utama di Kuala Lumpur ditutup sementara hari ini sehingga 20 Mac untuk kerja-kerja pembersihan dan pembasmian kuman yang menyeluruh mengikut garis panduan keselamatan dan kesihatan.

"Ini berikutan kontak pekerja kami dengan orang luar yang mungkin terdedah kepada COVID-19," menurut bank tersebut dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun, katanya pelanggan boleh terus melakukan transaksi di BSN cawangan Lebuh Ampang dan BSN cawangan Haji Hussein serta menerusi perbankan Internet bank itu, myBSN.

"BSN juga ingin memaklumkan kepada semua pelanggan bahawa kami akan terus mengikuti perkembangan terkini mengenai wabak COVID-19 dan akan melaksanakan sebarang langkah awal tambahan untuk memastikan kesejahteraan petugas dan pelanggan kami.

"BSN kesal dengan sebarang kesulitan disebabkan melaksanakan langkah-langkah ini," menurut BSN.

-- BERNAMA