Wisma Putra hari ini mengesahkan insiden yang berlaku ke atas bekas pelajar Malaysia yang menuntut di Universiti Al-Azhar yang cedera terkena serpihan besi semalam.

Kejadian dipercayai berpunca daripada percikan peluru sesat di sekitar Masjid Salam, Hayyu Asyir, Kaherah, Mesir.

Walaubagaimanapun, menurut jurucakap Wisma Putra ketika dihubungi Astro AWANI kecederaan yang dialaminya adalah sedikit dan mangsa sudah menerima rawatan.

Wisma Putra turut memberitahu wakil kedutaan di sana sering mengadakan mesyuarat dan mengajar langkah-langkah keselamatan kepada para pelajar di Mesir.

"Pelajar Malaysia kebanyakannya dinasihatkan supaya tidak mengambil bahagian dalam mana-mana demonstrasi yang diadakan dan sentiasa berhati-hati pada setiap masa" kata pegawai itu.

Mangsa yang dikenali sebagai, M. Naser Zahed, 27, yang ketika kejadian sedang dalam perjalanan untuk menghantar isterinya mengambil peperiksaan Sains Islam di Universiti Al-Azhar, membuat keputusan untuk pulang ke rumah apabila mendapati demonstrasi yang diadakan semakin di luar kawalan.

Namun begitu ketika dalam perjalanan, dia merasakan sesuatu terkena mukanya dan hanya menyedarinya selepas berlumuran darah.

Beliau kemudiannya dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut sebagai pesakit luar.

Naser turut diiringi oleh kakitangan Kedutaan Malaysia di Mesir.