World #QuranHour: Perak sudah bersedia

World #QuranHour: Perak sudah bersedia
Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu (tengah) turut memberi sokongan kepada World #QuranHour. Foto Sinar Harian
IPOH: Kerjasama erat antara jabatan kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini diyakini mampu melonjakkan jumlah penyertaan pada World #QuranHour yang berlangsung secara serentak di seluruh dunia, 7 Jun depan.

Penyelaras Rumah Ngaji Perak, Noor Mazlina Noor Shah berkata, jika tahun lalu, negeri ini merekodkan penyertaan hampir 20,000 peserta, tahun ini pihak Sekretariat World #QuranHour Perak menyasarkan penyertaan lebih 30,000 orang.

Menurutnya, jumlah itu mampu dicapai menerusi kempen yang diperhebat bukan sahaja secara hebahan melalui walk in di setiap agensi malah di media sosial.

“Kita juga ada perancangan untuk menganjurkan Walk and Ride for World Quran Hour di peringkat negeri, ini usaha kita menarik penglibatan belia dan perhatian umum secara keseluruhannya.

“Jika ada mana-mana pertubuhan belia yang berminat, kita boleh selaraskan dalam masa terdekat, moga usaha ini membantu sasaran mendapatkan 1 bilion capaian sosial media menjelang program itu nanti,” katanya.
Beliau ditemui selepas mesyuarat Sekretariat World #QuranHour Perak di Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak, pada Selasa.

Mesyuarat dipengerusikan Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak, Mohammad Nazari Abdul Hamid turut disertai Jabatan Agama Islam Perak (Jaipk), Sektor Pendidikan Islam Jabatan Pendidikan Negeri, Masjid Sultan Idris Shah II (Masjid Negeri), Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri juga NGO seperti Yayasan Addin, Pertubuhan Wanita Prihatin Perak (PWPP) serta Institut Tadbiran Islam Perak (Intim).

Pada 7 Jun bersamaan 22 Ramadan itu nanti, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan mencemar duli bagi menjayakan program berkenaan di lokasi utama, Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Selangor.

Sekretariat World #QuranHour Perak yang bermesyuarat pada Selasa. Foto Sinar Harian

Pengerusi PWPP, Datin Normah Hanum Ibrahim berkata, kali ini kempen akan diperluas kepada golongan wanita terutamanya suri rumah.

Katanya, kesibukan mengurus rumah tangga tidak harus dijadikan halangan buat suri rumah untuk turut serta menghidupkan gelombang positif melalui bacaan al-Quran.

“Kita punya ahli yang aktif dan kesempatan ini akan digunakan untuk menggerakkan kempen dari rumah ke rumah juga masjid dan surau yang ada di kawasan masing-masing.

“Sejak awal kita menyokong penuh pelaksanaan program ini dan berharap dari tahun ke tahun dapat menarik penyertaan kumpulan-kumpulan baru,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Penyelaras Addin, Mohamed Dhia Addin Mohamed Zain berkata, dengan sasaran lebih ramai peserta, pihaknya akan membantu memenuhi keperluan naskah al-Quran.

Menurutnya, di Yayasan Addin sendiri, banyak naskah al-Quran yang diwakafkan orang ramai boleh digunakan ketika berlangsungnya program itu nanti.

“Program yang baik jadi kita akan bantu untuk memudahkan setiap urusan,” katanya.

Mereka yang ingin menyumbang atau mewakafkan al-Quran bagi melancarkan program World #QuranHour nanti boleh berhubung dengan Noor Mazlina 017-6539690; Setiausaha PWPP, Norzita Rabaai (012-5033319) atau Robaatun Harun (019-5173264).