Siasatan harus dijalankan mengenai mengapa Wall Street Journal (WSJ) bersikap memihak dalam politik dan hal ehwal dalaman Malaysia, kata Setiausaha Akhbar kepada Perdana Menteri Datuk Seri Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad.

Merujuk kepada apa yang disifatkannya sebagai laporan palsu yang terbaru oleh WSJ hari ini, beliau berkata WSJ mendakwa bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak tidak ditemuduga oleh para penyiasat Malaysia sambil mendakwa ini menunjukkan bahawa siasatan yang membersihkan Perdana Menteri daripada sebarang salah laku telah "dihalang akibat tekanan politik dan kurangnya ketelusan".

Bagaimanapun, Tengku Sariffuddin berkata berdasarkan rekod awam, dan dilaporkan secara meluas oleh media lain ketika itu, bahawa Najib telah ditemuduga untuk beberapa jam pada 5 Dis 2015 oleh badan utama siasatan dalam kes ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Perdana Menteri memberi kerjasama penuh kepada penyiasat tersebut, dan secara umum mengarahkan semua badan-badan berkaitan dalam kerajaan juga berbuat demikian," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sambil membidas WSJ, beliau berkata saluran media itu bukan sahaja sengaja mengabaikan fakta-fakta utama ini tetapi berbohong dan berkata Perdana Menteri tidak ditemuduga.

"Ini menunjukkan agenda mereka yang berat sebelah dan meneruskan corak pemberitaan WSJ yang konsisten berhubung dengan liputan mengenai Malaysia.

"Mereka bergantung hanya kepada sumber tanpa nama dan kempen memburuk-burukkan oleh (bekas Perdana Menteri) Tun (Dr) Mahathir (Mohamad) dan sekutunya yang baharu dalam DAP termasuk Tony Pua dalam artikel terbaru ini," kata Tengku Sariffuddin.

Beliau berkata pembohongan ini, yang gagal mengemukakan sebarang bukti, kemudian dibentangkan sebagai fakta oleh WSJ, sama seperti beberapa laporannya yang palsu, mendakwa Perdana Menteri telah melantik Tan Sri Irwan Serigar Abdullah menjadi Gabenor Bank Negara Malaysia yang baharu.

Tengku Sariffuddin berkata kewartawanan seharusnya menjurus kepada melaporkan sesuatu berita atau peristiwa secara bebas berdasarkan fakta dan sumber yang disahkan.

"Sebaliknya, WSJ menjadi alat propaganda lawan politik Perdana Menteri yang secara terbuka mengisytiharkan hasrat mereka untuk menjatuhkan kerajaan yang dipilih secara demokratik," katanya.