Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman telah menerima laporan terdapat cawangan-cawangan ‘hantu’ dalam badan bukan kerajaan (NGO) Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung GPMS.

Jelasnya yang juga Ketua Pemuda Bersatu, situasi ini telah menimbulkan pelbagai masalah dan pihaknya sedang menjalankan siasatan terperinci dalam menangani isu ini.

"Kami telah menerima banyak aduan mengenai kewujudan cawangan hantu ini yang datang dari pihak GPMS sendiri.

"Pihak Pejabat Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY) sudah menerima pelbagai maklumat, sebagai contoh apabila seseorang ini dipanggil, dia sebagai pengundi tidak tahu tentang cawangan itu.

"Apabila kita panggil kepimpinan cawangan GPMS, mereka tidak tahu juga. Jelas, pilihan raya dalam GPMS sudah dimanipulasi," kata Syed Saddiq selepas merasmikan perhimpunan bulanan Kementerian Belia dan Sukan, pada Selasa.

Katanya lagi, ini merupakan satu masalah besar memandangkan banyak peruntukkan kepada cawangan 'hantu' ini.

"Saya sedang siasat dengan terperinci, saya mahu perkara ini jelas dan telus," katanya.

Selain itu, Syed Saddiq turut menjelaskan semua peruntukan oleh KBS kepada NGO kini akan lebih menumpu kepada penganjuran program, dan bukan pengurusan NGO.

"Peruntukan itu akan difokuskan kepada penganjuran program yang membantu golongan sasar B40.

"Sebelum ini agihan dibuat agak rambang, dan kadang-kadang boleh mencecah 20 hingga 30 juta ringgit setahun kepada tiga atau empat NGO yang dapat majoriti peruntukkan tersebut.

"Kita mahu cuba bantu sebanyak yang mungkin," kata Syed Saddiq.

Tegasnya, beliau mahu proses audit yang lebih baik, dan semua penggunaan dana lebih telus dalam badan NGO.

Dalam pada itu, Syed Saddiq juga berkata pihaknya akan melihat bagaimana NGO boleh diperkasakan dalam menyelesaikan sebarang isu dan mendapatkan sumber supaya lebih mampan.