Satu badan pengarah terdiri dari pemilik tanah dan pengarah bebas hendaklah diadakan untuk menyemak pengurusan dan menentukan keuntungan serta agihan ladang kepada pemilik.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, pemilik tanah akan kekal sebagai pemilik tetapi bahagian mereka akan mengikut saiz tanah mereka.

Jelasnya, mereka boleh bekerja atau hanya menjadi tuan tanah selain keuntungan dari perladangan akan mengikut saiz tanah sumbangan masing-masing.

Sementara, pengurus mestilah mereka yang terlatih selain penyerahan pengurusan dan perbelanjaan ladang kepada mereka.

"Apabila ladang menjadi besar, tanaman semula boleh dibuat di satu bahagian kecil dalam cantuman ladang. Dengan cara ini tanaman semula tidak melibat seluruh kawasan.

"Bahagian yang masih tidak dikena tanam semula boleh memberi pulangan sementara menanti kawasan tanaman semula berbuah.

"Keuntungan kawasan yang masih mengeluar hasil akan diagih mengikut besar tanah semua peserta. Ini juga adalah amalan ladang besar. Pemasaran keluaran akan diurus oleh pengurus," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Dwitahunan Persatuan Kebangsaan Pekebun-Pekebun Kecil Malaysia (PKPKM), pada Khamis.

Turut hadir, Presiden PKPKM, Datuk Aliasak Ambia.

Terdahulu, Dr Mahathir menjelaskan, keuntungan dari perusahaan getah dan kelapa sawit dapat diperolehi dengan mengadakan ladang besar yang dicantumkan dari beberapa kebun kecil.

Dalam pada itu katanya, Kempen Sayangi Sawitku ataupun Love My Palm Oil Campaign yang dilaksana diharap memberi kefahaman kepada masyarakat tempatan mengenai pentingnya industri sawit kepada sektor pertanian, negara serta pekebun-pekebun kecil.

"Usaha ini juga akan membantu meningkatkan imej minyak sawit di peringkat antarabangsa, selari dengan usaha kerajaan dalam pelaksanaan Pensijilan Minyak Sawit Mampan kepada keseluruhan industri sawit.

"Saya juga ingin ambil kesempatan ini menyeru kepada semua pekebun kecil sawit di luar sana yang belum lagi mendaftar dengan pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) untuk mendaftarkan diri di mana-mana pejabat Lembaga Minyak Sawit Malaysia yang terdekat," ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Dr Mahathir mahu kementerian dan agensi berkaitan memainkan peranan besar dalam memartabatkan semula fungsi koperasi terutama di luar bandar.

"Mereka perlu mengambil langkah menyeluruh termasuk merancang strategi membangunkan koperasi, memantau koperasi secara berkala dengan mewujudkan Indeks Prestasi Utama (KPI) dan menyediakan latihan kepada semua pengurusan koperasi dan ahli-ahlinya.

"Selain itu, mereka perlu merancang dan melaksanakan projek secara pembangunan berpatisipasi, menggalakkan pelaksanaan projek berskala kecil secara gotong royong serta melihat koperasi sebagai pencetus pembangunan minda pekebun kecil," katanya.

Jelasnya, langkah itu juga termasuk membantu pelaksanaan integrasi koperasi-koperasi secara menegak dan melintang bagi mewujudkan koperasi yang berdaya saing.