Kerajaan wajar mewujudkan peruntukan undang-undang anti-diskriminasi bagi sektor pekerjaan dalam negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) Ahmad Yazid Othman berkata undang-undang ini penting supaya semua kaum dan agama di negara ini dilayan secara adil.

"Kita inginkan keadilan buat semua, bukan hanya buat kaum Melayu dan Islam," katanya dalam satu sidang media di Pejabat Dewan Perniagaan Melayu Malaysia di Bukit Damansara.

Apabila diminta mengulas mengenai butiran atau mekanisme undang-undang tersebut, Ahmad Yazid berkata kajian boleh dibuat di syarikat-syarikat dalam Malaysia untuk memastikan ia sesuai dilaksanakan di negara ini.

"Kita boleh lihat berdasarkan gaji dan kelayakan setiap pekerja yang ada serta menyelaraskannya supaya tiada pihak yang merasa tertindas," kata beliau.

Selain MTEM, terdapat 15 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang turut menyokong kenyataan itu seperti Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) dan Centre for Human Rights Research and Advocacy (Centhra).

Selain itu, Ahmad Yazid turut menyeru Pengerusi Persatuan Pengusaha-pengusaha Hotel Malaysia (MAH) Samuel Cheah untuk meletak jawatan.

"Ini kerana beliau cuba menjustifikasikan diskriminasi berasaskan agama atau bangsa," kata Ahmad Yazid.