Ketika warga Malaysia menyambut kemunculan Tahun Baharu 2018, presiden Gerakan Datuk Seri Mah Siew Keong berkata adalah penting mereka mempunyai keyakinan terhadap kekuatan, kesejahteraan dan hala tuju negara di bawah kepimpinan kerajaan.

Beliau mengambil perhatian bahawa pengalaman lepas memberikan pedoman kepada rakyat agar kekal bersatu dan bersikap positif selain menyokong usaha nasional dalam mengatasi kesukaran serta cabaran.

"Kita harus mengelak daripada terjerumus ke dalam perangkap politik yang dicipta oleh golongan populis, oportunis dan suara pemisah yang hanya berminat mengaut dividen politik daripada perpecahan, krisis dan kekacauan," kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu.

Mah berkata pelbagai rancangan transformasi dan pembangunan inklusif yang berpandangan jauh telah diperkenalkan oleh kerajaan bagi merangsang kecergasan serta kejayaan perniagaan tempatan.

Pembangunan sosioekonomi, kata beliau, telah menemui semula momentumnya dan berkembang maju, manakala cabaran global serta ketidakpastian semakin lenyap.

"Ketika kita melangkah masuk ke Tahun Baharu, Malaysia boleh mengharapkan masa depan yang gemilang dengan semua rakyat berkongsi dan komited untuk berjuang demi destini bersama mencapai kemajuan sosial, pembangunan ekonomi serta demokrasi yang cergas," kata Mah.

Dalam perutusan Tahun Baharunya pula, presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai menggesa rakyat Malaysia agar berikrar sekali lagi untuk bersama-sama menyingkirkan anasir-anasir yang boleh memecah belah dan berusaha untuk mengharumkan nama Malaysia di mata dunia.

"Saya yakin jika kita terus mengekalkan nilai-nilai kesederhanaan, saling menghormati dan menerima antara satu sama lain, kita akan terus berkembang maju," kata Menteri Pengangkutan itu.

-- BERNAMA