Yayasan ECM Libra memperuntukkan sebanyak RM3 juta bagi Program Bantuan Makanan COVID-19 sebagai inisiatif meringankan beban golongan miskin bandar di sekitar Kuala Lumpur.

Menurut Datuk Seri Kalimullah Hassan selaku pengerusi ECM Libra, dana itu disalurkan kepada 1,427 keluarga dan 640 orang miskin bandar, termasuk ibu tunggal dan gelandangan.

“Inisiatif ini bertujuan memberi makanan dan bantuan lain yang diperlukan untuk mengatasi kesulitan yang menimpa masyarakat terpinggir di Malaysia semasa pandemik COVID-19.

“Kami telah memperuntukkan RM3 juta untuk membiayai program ini selama enam hingga sembilan bulan, dan dua pusingan pertama pada Julai dan Ogos telah dikumpulkan dan diedarkan,” ujar Kalimullah pada selepas berlangsung program bantuan makanan pada Jumaat.

Sejak program itu dilancarkan pada Julai lalu, ia juga telah menyediakan bantuan makanan untuk masyarakat Orang Asli di Bandar Sri Muadzzam Shah, alat bantuan pernafasan (ventilator) dan alat pelindung diri (PPE), serta pelitup muka kepada kakitangan hospital dan barisan hadapan.

Tambah Kalimullah, sebanyak 27,000 bungkus makanan telah disediakan kepada penduduk rumah orang tua, anak yatim dan ibu tunggal di sekitar Seremban semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Selain itu, yayasan yang ditubuhkan sejak 2004 itu turut menyediakan tempoh penginapan hotel kepada barisan perubatan dari Hospital Kuala Lumpur dan Institut Jantung Negara (IJN), di Tune Hotel PWTC selama 4,500 malam.

Antara yang hadir pada Jumaat dalam bantu menyediakan dan mengedar makanan di sebuah hotel di Chow Kit pada Jumaat ialah Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, Pengasas Pertiwi Soup Kitchen, Datuk Munirah Abdul Hamid, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Tan Sri Tony Fernandes.

Turut serta adalah Ketua Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Kuala Lumpur Kepong Berhad, Tan Sri Lee Oi Hian, dan Pengarah Urusan YTL Power International Berhad, Datuk Yeoh Seok Hong.

Terdahulu, yayasan tersebut juga menyalurkan lebih RM50 juta bagi membantu masyarakat terpinggir dengan menyediakan pinjaman tanpa faedah, biasiswa dan pembangunan pusat tuisyen serta asrama.

BACA: Yayasan ECM Libra lancar Program Bantuan Makanan COVID-19