Sebuah badan dikenali sebagai Yayasan Usman Awang ditubuhkan hari ini bagi menghimpun karya sasterawan negara itu untuk kemudahan para pengkaji sastera dalam dan luar negara membuat penyelidikan.

Haslina Usman, anak sasterawan itu berkata, penubuhan Yayasan Usman Awang ini juga sebenarnya adalah untuk dijadikan satu 'research centre' bagi memudahkan pengkaji sastera dalam dan luar negara mencari karya sasterawan negara itu.

Bercakap di sidang media berhubung penubuhan yayasan itu di bangunan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini, Haslina berkata usaha akan dilakukan segera bagi mengumpul dan memulihara khazanah karya sasterawan itu di dalam negara dan juga yang dalam simpanan Perpustakaan Nasional Singapura.

Turut hadir Ketua Pengarah DBP Datuk Dr Awang Sariyan, Sasterawan Negara Datuk Anwar Ridhwan dan Pengarah Urusan Hai-O Enterprise Berhad Tan Kai Hee yang turut mengumumkan untuk menyumbang RM1 juta kepada Yayasan Usman Awang.

Beberapa rakan karib Usman turut hadir antaranya Senator Dr Syed Husin Ali; mantan Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Tan Sri Kamarul Ariffin; dan penggiat teater tanah air, Che Shamsudin Othman atau Dinsman.

Haslina berkata beliau dan ahli jawatankuasa sementara Yayasan Usman Awang sedang menjalankan usaha mengumpul semua karya Usman melalui nama pena yang pernah digunakan tokoh itu.

"Selain Tongkat Warrant, ayah saya pernah menggunakan nama pena seperti Pengarang Muda, Manis, Zaini dan Atma Jiwa.

Jadi, karya arwah ayah saya sebenarnya banyak, setakat yang diketahui novel ada satu, puisi 200 lebih, cerpen 100 lebih dan beberapa puluh drama. Itu yang diketahui, bayangkan kalau kita mencari, banyak lagi karya arwah yang dihasilkan sejak beliau mula menulis dari muda sehingga akhir hayatnya akan ditemui," katanya.

Pada majlis itu Haslina turut mengumumkan akan mengadakan majlis Pertemuan Kawan-Kawan Usman Awang yang dianjurkan pihaknya bertujuan untuk menghimpun penggiat sastera tanah air pada Ahad ini di Dewan Bankuet, DBP di sini.

Pelbagai program bakal diisi pada majlis pertemuan itu antaranya tayangan dokumentari Usman Awang, Anugerah Integrasi Nasional Usman Awang, makan malam dan deklamasi puisi Usman Awang.