Misi pembelaan anak yatim oleh Yayasan Anak-anak Yatim Sultanah Haminah (YAYSH) tidak hanya tertumpu kepada rumah kebajikan namun yang tinggal bersama mana-mana keluarga angkat yang sudi menjaga mereka.

Anggota Lembaga Pengarah YAYSH, Datuk Seri Norazam Shah Ibrahim berkata, fokus yang selama ini menjadi sasaran yayasan itu diharap dapat dikongsi masyarakat luar yang turut sama prihatin.

"Tujuan utama yayasan ini adalah untuk berusaha mencari sumbangan dana bagi bersama-sama membantu mengurus dan menangani isu-isu kebajikan anak-anak yatim seterusnya membimbing mereka supaya menjadi insan yang beriman, berilmu dan berguna kepada agama, bangsa dan negara.

"Yayasan bukan sahaja memberi bantuan kepada anak-anak yang tinggal di rumah anak-anak yatim yang berdaftar, tetapi yayasan juga turut sama membantu dan memberi tumpuan kepada anak-anak yatim tumpang yang tinggal bersama keluarga angkat, bapa saudara, datuk dan nenek yang mungkin tidak diketahui oleh badan kebajikan kerana mereka ini tidak tinggal di rumah anak-anak yatim.

"Oleh yang demikian anak-anak yatim tumpang ini juga turut tidak dilupakan dan yayasan sentiasa bekerjasama dengan pegawai daerah supaya anak-anak yatim sebegini juga turut sama dibantu seperti anak-anak yatim yang lain," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.

Penubuhan YAYSH adalah untuk membela nasib anak-anak yatim piatu yang miskin serta tiada penjagaan yang sempurna, tanpa mengira darjah pencapaian akademik. Anak-anak ini juga ditanggung keseluruhannya sehingga mereka boleh berdikari.

YAYSH telah ditubuhkan secara rasminya pada 15 Julai 2011.

Terdahulu, hasrat Norazam berkenaan diluahkan semasa Majlis Sambutan Ulang Tahun YAYSH di ibu negara baru-baru ini.

Dalam pada itu jelasnya, skop kebajikan YAYSH juga kini diperluaskan skop kebajikannya kepada setiap masyarakat yang kurang bernasib baik yang lain seperti golongan keluarga miskin dan ibu tunggal.

'Kita mahu semua dapat bersama-sama mengecapi nikmat pembangunan negara. Walaupun usia yayasan ini baru menginjak usia empat tahun, namun berkat kesungguhan dan semangat Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah, yayasan ini kini telah mempunyai bangunannya sendiri yang terletak di Alor Setar.

"Dengan adanya wisma atau bangunan ini, ianya mampu untuk menjalankan pelbagai urusan berkaitan perancangan dan aktiviti untuk faedah anak-anak dan golongan yang kurang bernasib baik," ujarnya.

Penubuhan yayasan anak-anak yatim ini juga kata Norazam adalah manifestasi daripada nilai kelembutan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah yang senantiasa peka dengan perkembangan semasa berkaitan dengan lingkungan kehidupan kanak-kanak sebagai legasi kesinambungan negara pada masa hadapan.