Sidang Kemuncak Belia Kuala Lumpur (Youth KL Summit) perlu dijadikan medan sebagai mencari penyelesaian isu-isu yang mendepani anak muda terutama di negara-negara Islam.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata mungkin sesetengah pendekatan sesuai dilaksanakan di Malaysia, namun ada negara-negara lain tidak sesuai melaksanakan pendekatan tersebut lantaran berdepan cabaran yang berbeza.

“Terdapat persoalan yang dibangkitkan oleh pelarian dari Syria dan berbangsa Palestin tadi. Dia sendiri katakan, bagaimana menjadikan: jalan penyelesaian di Malaysia, boleh dipraktikkan oleh beliau.

“Malah, ada (juga persoalan) perwakilan dari Kashmir, mereka semua berbeza. Apabila tiada satu penyelesaian untuk semua (one size fits all), yang paling penting adalah untuk anak muda itu sendiri bersatu.

“Mereka perlu mencari platform untuk membincangkan jalan penyelesaian bersama dan untuk bersuara bersama yang saya rasa KL Summit ini, khususnya cabang belia harus dijadikan platform tersebut,” katanya ketika ditemui media selepas melancarkan Youth KL Summit di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini hari ini.

Youth KL Summit merupakan program sampingan daripada Sidang Kemuncak Kuala Lumpur (KL Summit) yang bakal membuka tirai esok.

Program dua hari yang bermula hari ini menghimpunkan golongan muda dari lebih 50 negara untuk bertukar pandangan menerusi pelbagai platform seperti sesi forum, mesyuarat meja bulat dan perbincangan mengikut beberapa kluster.

Antara kluster yang dibincangkan seperti ekonomi digital, pembangunan belia, belia dan politik, kemampanan ekonomi gig, cabaran Revolusi Industri 4.0 dan urus tadbir.